Skip to main content

Dunia

Kerajaan Johor sumbang RM1,000 kepada mangsa ribut di flat

Sumbangan itu diperuntukkan oleh kerajaan negeri Johor kepada setiap 22 keluarga yang terlibat demi meringankan beban mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Johor sumbang RM1,000 kepada mangsa ribut di flat

(Gambar: Facebook/Onn Hafiz Ghazi)

Diterbitkan : 13 Aug 2022 10:35PM
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan memberikan sumbangan kepada 22 keluarga di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka terjejas akibat ribut pada Jumaat (12 Ogos).

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sumbangan kepada setiap keluarga yang terlibat itu diharapkan dapat meringankan beban mereka.

Beliau yang turun padang untuk meninjau keadaan flat dan melawat mangsa di PPS tersebut hari ini, turut menzahirkan kesedihan di atas kejadian yang menimpa kesemua mangsa.

“Sedih melihat keadaan flat mangsa ribut di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya hari ini. Dalam meringankan beban mereka, sumbangan sebanyak RM1,000 (S$310) diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada setiap 22 keluarga yang terlibat,” kata Onn Hafiz menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini (13 Ogos).

Menurut beliau, satu jawatankuasa diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Jafni Md Shukor, dibentuk bagi menyelaraskan penempatan sementara dan proses pembaikian rumah mereka yang terkesan.

Encik Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan berusaha agar kerja membaik pulih dapat disiapkan, bagi memastikan kesemua mangsa boleh pulang ke kediaman masing-masing secepat mungkin.

Semalam, dilaporkan kejadian ribut berlaku kira-kira pukul 3.00 petang, menyebabkan beberapa kediaman di flat berkenaan mengalami kerosakan, sebelum PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya dibuka pada 4.30 petang hari sama.

Setakat pukul 8.00 malam ini, kesemua 84 individu daripada 22 keluarga itu masih berada di PPS berkenaan.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita