Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan Johor kenal pasti 77 lokasi sesak di kawasan Greater JB

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Johor kenal pasti 77 lokasi sesak di kawasan Greater JB

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 Nov 2024 11:27PM Dikemas Kini : 25 Nov 2024 11:29PM
ISKANDAR PUTERI: Jawatankuasa Khas Penyuraian Trafik telah mengenal pasti 77 'hotspot' atau kawasan yang kerap mengalami kesesakan di Kawasan “Greater” Johor Bahru (JB), persidangan Dewan Undangan Negeri Johor diberitahu hari ini (25 Nov).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohammad Salleh berkata pelan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang dilaksanakan bagi mengatasi isu kesesakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi memastikan kewujudan dan operasi Stesen Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) memberi impak bukan sahaja dari aspek ekonomi, sosial dan teknologi, tetapi turut menyelesaikan kesesakan di Greater JB.

“Bagi penyelesaian jangka masa pendek, pengurusan semula lalu lintas telah dibuat di beberapa kawasan, seperti bantuan pihak polis trafik untuk membuat kawalan, pembukaan dan penutupan jalan serta penggunaan 'flexible post' bagi mengelak kenderaan yang memotong barisan di persimpangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Marina Ibrahim (DAP-Skudai) mengenai jaminan kerajaan negeri bagi memastikan trafik di sekitar bandar raya Johor Bahru serta seluruh Greater JB tidak akan terbeban dengan projek RTS.

Dalam pada itu, Encik Mohd Fazli berkata beberapa projek membabitkan pelebaran serta naik taraf jalan dengan kos peruntukan keseluruhan lebih RM1.28 bilion (S$387 juta)akan siap pada 2026 dan 2027 menjelang pengoperasian RTS, dan dijangka dapat menyelesaikan penyuraian trafik di kawasan Greater JB dan sekitarnya.

“Antaranya projek menaik taraf dan membina Jalan Baru di Jalan Gelang Patah, (J4) dari persimpangan Kompleks CIQ Gelang Patah sehingga persimpangan empat lampu isyarat Tanjung Pelepas (kos RM62.5 juta atau S$18.9 juta bermula 2020 yang dijangka siap pada 2026).

“Selain itu, projek lain ialah menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17), Johor–Fasa 2B dan persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting Ke Pasir Gudang (kos RM78 juta atau S$23.5 juta, bermula 2023 dan dijangka siap 2026) dan projek persimpangan bertingkat dari EDL–Pusat Bandar Johor Bahru–Stulang Laut (kos RM371.7 juta atau S$112.4 juta, bermula tahun ini dan dijangka siap 2028),” katanya.

Encik Mohd Fazli berkata projek lain yang dijangka siap pada 2026 ialah projek menaik taraf Lebuhraya Senai Desaru (SDE) daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala sepanjang 9.4 kilometer dengan kos RM160 juta (S$48.4 juta) yang bermula pada tahun ini serta projek pembinaan directional ramp di persimpangan SDE, Bandar Penawar dengan kos RM86.6 juta (S$26.2 juta) dan telah bermula sejak 2022.

Beliau berkata bagi jangka masa sederhana dan panjang, beberapa projek dan inisiatif berskala besar turut dirancang antaranya pembangunan koridor-koridor pengangkutan awam, iaitu Koridor Utara (KTM–komuter), Koridor Utara (Skudai), Koridor Barat (Iskandar), Koridor Timur (Tebrau) dan Koridor Timur–Barat (KTM).

“Selain pembangunan koridor pengangkutan awam, projek yang melibatkan infrastruktur, seperti pembinaan persimpangan baharu, pembinaan jalan baharu serta pelebaran jalan raya termasuklah projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan dan SDE, telah disusun berdasarkan unjuran pembangunan semasa negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Encik Mohd Fazli berkata RTS yang dijangka siap pada 2026 dan mula beroperasi pada 2027 akan membantu mengurangkan jumlah kenderaan di Tambak Johor yang kini sering mengalami kesesakan teruk.

“Dengan laluan pengangkutan yang lebih cepat, kita jangkakan 20 peratus pengguna yang sebelum ini menggunakan kenderaan persendirian mungkin akan beralih kepada RTS.

“RTS yang menghubungkan antara Johor Bahru dengan Singapura dijangka membawa manfaat besar kepada penduduk pekerja dan pengunjung yang melintas antara kedua-dua negara,” katanya.

Namun, menurutnya, sekiranya tiada perancangan yang teliti, projek yang baik seperti RTS ini bukan sahaja tidak menjadi pilihan, malah kesesakan juga akan bertambah teruk.
Sumber : Bernama/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan