Skip to main content

Dunia

Kerajaan Johor dicadang buat pemetaan semula sempadan perairan SG-Johor

Anggaran Waktu Membaca:
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor dicadangkan supaya membuat pemetaan semula persempadanan perairan antara Singapura dan Johor khususnya di perairan Selat Tebrau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar,Pandak Ahmad berkata langkah itu perlu dilaksanakan kerana isu keselamatan dan kedaulatan negara harus diberi perhatian utama oleh kerajaan, sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan.

"Aspek keselamatan dan kedaulatan negara ini tidak harus dikompromi kerana jika tidak dipantau dan dijaga dengan baik, maruah negara bukan sahaja diinjak-injak, malah bakal kehilangan haknya," kata beliau ketika membahaskan Belanjawan Johor 2023 pada Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri pada Rabu (7 Dis).

Beliau berkata demikian semasa mengulas insiden pertengkaran mulut antara kumpulan nelayan tempatan dengan pihak berkuasa negara jiran itu, Oktober lepas.

"Insiden tersebut bukan sahaja tidak wajar dan tidak seharusnya berlaku, malah mencerminkan imej dan maruah rakyat kita dihina," katanya.

Wakil rakyat Barisan Nasional itu berkata sikap berdiam diri boleh dianggap sebagai 'tidak peduli' dan boleh memberi implikasi besar dan buruk pada masa akan datang.

"Saya membangkitkan perkara ini bukan bertujuan ingin menimbulkan seteru dengan negara jiran, tetapi dengan niat untuk mempertahankan yang sememangnya menjadi hak milik kita. Malah, saya sendiri pernah menjadi nelayan dan tahu di kawasan tersebut adalah kawasan perairan kita," katanya.

Pada 24 Oktober lepas, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin dilaporkan berkata satu laporan polis dibuat wakil sekumpulan nelayan tempatan susulan insiden pertengkaran mulut antara mereka dengan Polis Pengawal Pantai Singapura (PCG) seperti yang tular di media sosial.

Media turut melaporkan sepuluh nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua di Iskandar Puteri.

Persidangan DUN Johor bersambung pada Khamis (8 Dis).
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita