Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan Johor beri peringatan jangan naikkan harga barangan

Kerajaan negeri Johor mengingatkan para peniaga agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan terutama menjelang pembukaan sempadan pada Jumaat ini (1 Apr) dan musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor mengingatkan para peniaga agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan terutama menjelang pembukaan sempadan pada Jumaat ini (1 Apr) dan musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han berkata kerajaan negeri akan memantau perkembangan dengan lebih dekat, dengan dibantu agensi penguatkuasaan pusat seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Selain itu, beliau berkata tindakan tegas juga akan diambil terutama terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan khususnya barangan asas secara mendadak dan tinggi.

“Setakat ini, bekalan keperluan seperti ayam, telur serta keperluan asas lain seperti gula, minyak (dan) tepung, masih mencukupi.

“Ini memang isu bekalan dan permintaan. Kalau permintaan tinggi, maka kita kena tingkatkan bekalan, kena usaha. Kalau ada isu (mengenai bekalan), sila laporkan dan beri aduan rasmi,” kata beliau kepada para wartawan selepas merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Johor 2022 di AEON Bandar Dato Onn, di Johor Bahru hari ini (30 Mac).

Beliau mengulas demikian kepada para wartawan ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan memantau harga barangan selain bekalan di pasaran ekoran pembukaan semula sempadan Johor-Singapura pada Jumaat ini serta menjelangnya perayaan Aidilfitri.

Encik Lee, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, berkata kerajaan negeri menjangkakan ramai pelancong dari Singapura akan datang ke negeri itu. Ini di samping rakyat Malaysia asal dari Johor yang akan pulang selepas pembukaan semula sempadan.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri berharap agar pembukaan semula sempadan akan dapat merancakkan ekonomi negeri Johor.

“Lagipun kita baru masuk fasa endemik, kita mintalah para peniaga agar bekerjasama dengan kerajaan.

“Kita sama-sama bantu rakyat semasa masuk fasa endemik ini dan juga musim perayaan akan datang,” ujar beliau.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan