Skip to main content

Dunia

Kerajaan Jepun sahkan mantan PM Shinzo Abe ditembak, keadaan tidak diketahui

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Jepun sahkan mantan PM Shinzo Abe ditembak, keadaan tidak diketahui

(Gambar: Kyodo News/AP)

Diterbitkan : 08 Jul 2022 12:28PM

TOKYO: Kerajaan Jepun mengesahkan pada Jumaat (8 Jul) bahawa mantan perdana menteri Shinzo Abe telah ditembak di wilayah barat Nara.

"Mantan perdana menteri Abe ditembak sekitar jam 11.30 pagi di Nara. Seorang lelaki, dipercayai penembak, telah ditahan. Keadaan mantan perdana menteri Abe kini tidak diketahui," kata ketua setiausaha kabinet Hirokazu Matsuno kepada wartawan.

Penyiar nasional NHK berkata seorang lelaki berusia 40-an tahun ditangkap atas cubaan membunuh dan merampas sepucuk pistol daripadanya, memetik sumber polis.

Encik Abe sedang menyampaikan ucapan menjelang pilihan raya Dewan Perwakilan pada Ahad apabila bunyi "seakan tembakan" kedengaran, menurut penyiar nasional NHK dan agensi berita Kyodo sebelum ini.

“Beliau sedang berucap dan seorang lelaki datang dari belakang,” kata seorang wanita muda di tempat kejadian kepada NHK.

"Bunyi tembakan pertama seperti mainan. Beliau tidak jatuh, kemudian disusuli bunyi dentuman lebih kuat. Ia lebih jelas, anda boleh lihat percikan api dan asap," tambahnya.

"Selepas tembakan kali kedua, orang ramai mengepungnya dan memberi beliau urutan di jantung."

Berikutan tembakan itu, Encik Abe, 67 tahun, rebah dan cedera di leher, sumber Parti Liberal Demokratik (LDP) memberitahu agensi berita Jiji.

LDP mahupun polis tempatan tidak dapat mengesahkan laporan dengan segera.

Tiga tembakan kedengaran di acara itu dengan Encik Abe memegang dadanya dan rebah, menurut koresponden CNA di Jepun, Michiyo Ishida. 

NHK dan Kyodo melaporkan Encik Abe dibawa ke hospital dan dilaporkan berdepan situasi 'cardo-respiratory arrest' (fungsi jantung dan pernafasan terhenti) - istilah digunakan di Jepun untuk menunjukkan tidak ada sebarang tanda vital, dan lazimnya sebelum pengesahan rasmi kematian oleh seorang koroner. 

Beberapa media melaporkan beliau kelihatan ditembak dari belakang, mungkin dengan senapang patah.

Encik Abe, perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, memegang jawatan pada 2006 selama satu tahun dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020.

Jepun merupakan antara negara di dunia yang mempunyai undang-undang kawalan senjata paling ketat, dan kematian tahunan akibat senjata api di negara yang mempunyai 125 juta orang itu selalunya dalam angka tunggal.

Sumber : Agensi berita/NY/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita