Kerajaan di enam negeri kekal; Kerajaan Perpaduan hormat kehendak rakyat, tekad kerja lebih keras, kata PM Anwar
PM Anwar Ibrahim mengulas tentang keputusan PRN pada 12 Ogos 2023. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Sabtu malam (12 Ogos) meminta gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), yang menyaksikan kedudukan ‘status quo’ di enam negeri terbabit.
PH dan BN yang buat pertama kalinya bekerjasama memasuki gelangggang pilihan raya berjaya menguasai tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Malah, kerjasama yang boleh dikatakan baharu dibentuk itu menang bergaya di Negeri Sembilan apabila memperoleh 31 daripada keseluruhan 36 kerusi yang dipertandingkan di negeri itu.
Pulau Pinang juga menyaksikan kemenangan bagi PH-BN dengan memperoleh 29 daripada 40 kerusi yang ditandingi, manakala di Selangor PH-BN menguasai kerajaan negeri dengan kemenangan di 34 kerusi daripada 56 yang dipertandingkan.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, keputusan itu diperoleh daripada sistem demokrasi dan pilihan rakyat harus dihormati dengan baik dan sebarang masalah perundangan yang timbul harus dibuat mengikut jalur hukum dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya lagi, apa jua keputusan yang diperolehi, semua parti baik menang atau kalah, harus kembali mengukuhkan silaturahim, menumpu perhatian untuk mengangkat martabat negara, dan terus membela nasib rakyat.
“Bagi pihak Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Persekutuan, yang terus kekal dan kukuh selepas keputusan PRN ini, akan terus berkhidmat. Mulai Isnin, kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa, tetapi lebih tekun dan keras bekerja supaya Malaysia dapat mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya lagi.
Encik Anwar turut menzahirkan rasa syukur kerana proses PRN di enam negeri, termasuk PRK di Kuala Terengganu berjalan dengan aman dan teratur, dan merakamkan penghargaan kepada pengurusan dan petugas SPR, serta pihak Polis Diraja Malaysia.
Di atas kejayaan mengekalkan kemenangan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, PM Anwar berkata, “ini berlaku kerana muafakat yang tercapai dalam kalangan semua parti (PH dan BN), termasuk rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang turut memberi dokongan yang baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan juga kekal sebagai kerajaan negeri di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Terengganu buat pertama kalinya menyaksikan kesemua 32 kerusi dimenangi PN yang bertanding menggunakan logo PAS, sekali gus menyaksikan tiada pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
PN juga menang besar di Kelantan apabila memperoleh 43 daripada 45 kerusi dan di Kedah gabungan itu memenangi 33 daripada 36 kerusi.
Kerjasama PH-BN dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lepas, yang menyaksikan kedua-dua blok bersama beberapa lagi gabungan parti politik lain membentuk Kerajaan Perpaduan dan berkolaborasi di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Perak.
PRU15 turut menyaksikan PN menang di Perlis.
Enam negeri mengadakan PRN berasingan daripada PRU15 dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 8 Ogos yang menyaksikan seramai 72,554 anggota tentera, polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
Sejumlah 9.67 juta pemilih layak mengundi pada PRN ini dengan Kelantan merekodkan 60.96 peratusan keluar mengundi; Terengganu (74.79 peratus); Pulau Pinang (72.67 peratus); Selangor (72 peratus); Negeri Sembilan (68.35 peratus) dan Kedah (73.86 peratus).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.