Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan bimbang laporan audit 1MDB cemar imej M'sia, Najib, kata bekas ketua audit negara

Bekas ketua audit negara, Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi pada Khamis (28 Nov) bahawa beliau dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Dr Ali Hamsa bahawa mencemarkan imej Encik Najib Razak sama seperti memburukkan nama negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan bimbang laporan audit 1MDB cemar imej M'sia, Najib, kata bekas ketua audit negara

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 29 Nov 2019 11:06AM Dikemas Kini : 29 Nov 2019 11:56AM

KUALA LUMPUR: Bekas ketua audit negara, Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi pada Khamis (28 Nov) bahawa beliau dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Dr Ali Hamsa, semasa mesyuarat membincangkan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bahawa mencemarkan imej Encik Najib Razak sama seperti memburukkan nama negara.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ali itu dihadiri antaranya bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Encik Arul Kanda Kandasamy dan Encik Ambrin serta wakil daripada beberapa agensi kerajaan.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata semasa mesyuarat berkenaan mereka yang hadir bimbang nama negara terjejas jika laporan tersebut mencemarkan reputasi Encik Najib.

Terdahulu, ketua pasukan pendakwaan Encik Gopal Sri Ram membacakan salah satu perenggan transkrip rakaman audio mesyuarat itu: "Setiap jabatan mesti menguruskan la.

Kerana kita bermesyuarat di sini pada dasarnya untuk kita, kepentingan negara dan menjaga pucuk pimpinan kita."

Semasa ditanya oleh Encik Sri Ram sama ada beliau bimbang terhadap reputasi Encik Najib, Encik Ambrin berkata beliau hanya mengambil berat tentang laporannya yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta mempertahankan kandungannya dalam mesyuarat itu.

Pada satu ketika, saksi juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai agenda politik di sebalik laporan 1MDB yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) pada 2016.

Encik Ambrin juga mengatakan niatnya jelas apabila bersetuju dengan pindaan kepada laporan audit 1MDB walaupun ditekan.

Ketika peguam Encik Najib, Encik Muhammad Shafee Abdullah bertanya mengapa beliau tidak membuat aduan polis mengenai dua penyata kewangan 1MDB yang berbeza, saksi itu berkata ia tidak terlintas di fikirannya pada masa itu.

Encik Najib, 66 tahun, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 (S$3,300), mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan