Kerajaan bakal buat pengumuman Perjanjian M'sia 1963 pada 4 Jan, kata TPM Fadillah Yusof
Anggaran Waktu Membaca:
(Gambar: Bernama)
KUCHING: Kerajaan Malaysia akan mengumumkan beberapa perkara dipersetujui berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 4 Januari depan, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat mingguan Kabinet pada hari berkenaan.
Jelasnya, buat masa ini, jawatankuasa teknikal MA63 sedang meneliti dan memuktamadkan beberapa perkara termasuk penurunan kuasa kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Encik Fadillah berkata terdapat beberapa perkara di luar bidang MA63 yang sudah diminta oleh Sabah juga Sarawak untuk dipertimbangkan kerajaan Persekutuan.
“Selain itu, ada beberapa perkara berkaitan MA63 yang perlu melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan akan mengambil masa untuk diselesaikan."
“Untuk perkara itu, kita perlu tunggu persidangan Parlimen untuk dibentangkan dan diluluskan,” katanya kepada wartawan selepas mengagihkan biskut sempena perayaan Hari Krismas pada Sabtu (24 Dis).
Pada 5 Disember lalu, Encik Anwar berkata Encik Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, dipertanggungjawabkan untuk menumpukan kepada hal ehwal Sabah dan Sarawak, terutamanya Perjanjian MA63.
Encik Fadillah juga berperanan untuk memastikan jurang ekonomi antara rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan dikurangkan.
Pada 21 Disember, Encik Anwar berkata kerajaan bersetuju untuk memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri berkenaan.
Perdana Menteri Malaysia itu berkata perkara itu diputuskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan MA63.
Sumber : Bernama/SS/ss
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.