Keracunan makanan di Bogor: Indonesia akan letak label had masa makan hidangan MBG
Ketua Badan Gizi Nasional (BGN) Sudaryono semasa sidang media di Jakarta pada Jumaat (7 Ogos). (Gambar: ANTARA/Lintang Budiyanti Prameswari)
Ketua BGN Sudaryono berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperketat prosedur operasi standard (SOP) bagi penyediaan dan pengagihan makanan di bawah program tersebut.
Menurutnya, BGN sedang menyiasat sama ada kejadian keracunan terbaru di Bogor berpunca daripada makanan yang disediakan menerusi program MBG.
"Kami sedang memeriksa sama ada keracunan itu disebabkan MBG atau tidak. Belum ada pengesahan," katanya dalam satu sidang media di Jakarta pada Jumaat (7 Ogos).
Beliau berkata BGN akan memperketat SOP, termasuk menetapkan waktu makanan mula dimasak, waktu ia siap serta tempoh maksimum sebelum ia perlu dimakan.
Makanan itu perlu diambil dalam tempoh maksimum empat jam selepas ia siap, dengan label pada setiap bekas makanan menyatakan waktu akhir ia selamat untuk dimakan.
Arahan tersebut sudah dikeluarkan kepada semua pihak yang terlibat dalam program berkenaan.
Encik Sudaryono berkata BGN juga terus menyelaraskan usaha dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan penerima manfaat MBG, dengan toleransi sifar terhadap kejadian keracunan yang boleh membawa maut.
Dalam pada itu, beberapa dapur MBG yang sudah beroperasi didapati masih belum mempunyai Sijil Kelayakan Kebersihan dan Sanitasi (SLHS).
BGN memberi tempoh sehingga Isnin (10 Ogos) kepada setiap Satuan Pelayanan Pemenuhan Gizi (SPPG) untuk memenuhi keperluan tersebut.
Encik Sudaryono menegaskan SLHS bukan sekadar keperluan pentadbiran, sebaliknya merupakan syarat utama bagi memastikan sesebuah dapur selamat untuk beroperasi.
Sekiranya sesebuah dapur MBG didapati tidak memenuhi piawaian kebersihan dan sanitasi, operasinya akan digantung secara kekal.
Menurut beliau, BGN setakat ini menerima laporan mengenai 950 dapur yang disyaki berkemungkinan besar tidak memenuhi piawaian kebersihan dan sanitasi.
BGN dijangka mengumumkan jumlah dapur yang akan ditutup secara kekal selepas penilaian selesai.
Encik Sudaryono menegaskan keselamatan penerima manfaat MBG menjadi keutamaan, sambil memberi amaran bahawa kegagalan memenuhi piawaian SLHS boleh membahayakan keselamatan, kesihatan dan nyawa penerima makanan tersebut.
Sementara itu, beliau menambah, setiap hari sehingga kini, pihaknya telah memberhentikan 66 Sarjana Penggerak Pembangunan Indonesia (SPPI) yang menjadi kepala atau ketua dapur program Makan Bergizi Gratis (MBG) atas tindakan tidak disiplin.
"Setiap hari ini kami telah memproses pemberhentian dan pembinaan SPPI atau kepala dapur MBG, sebanyak 66 kes dalam proses, jadi diberhentikan secara tidak hormat karena tindakan tidak disiplin, yakni tidak berada di tempat (dapur MBG) lebih daripada 10 hari secara berturut-turut, kemudian ada kejadian 'phishing', iaitu mengaku duitnya hilang karena penipuan dan lain-lain, kemudian ada juga yang terlibat judi online," kata beliau lagi.
Sebanyak 117 kepala dapur MBG yang diberhentikan dan dibina tersebut tersebar di Jawa Barat, Jakarta dan Banten, Jawa Tengah, Jawa Timur, Sumatera, Kalimantan, serta di Sulawesi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.