Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keracunan ikan buntal di Johor: lelaki meninggal dunia beberapa hari selepas isteri

Anggaran Waktu Membaca:
 Keracunan ikan buntal di Johor: lelaki meninggal dunia beberapa hari selepas isteri

Ikan buntal di sebuah pasar di Kota Kinabalu, Malaysia. (Gambar: iStock/intek1)

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun, yang mengalami keracunan selepas memakan ikan buntal pada 25 Mac, disahkan meninggal dunia di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang hari ini (9 Apr). 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata mangsa adalah pasangan wanita berusia 83 tahun yang maut selepas memakan ikan itu pada waktu tengah hari, hari yang sama. 

Beliau berkata sebelum itu, lelaki tersebut dipindahkan ke wad perubatan pada Rabu lalu (5 Apr) dalam keadaan sedar dengan tanda penting pesakit stabil meskipun dengan bantuan alat pernafasan dan diberi makanan melalui Tiub Ryle. 

"Bagaimanapun, pada kira-kira 5.20 pagi tadi, dia dikesan dalam keadaan tidak responsif ketika jururawat menguruskan pesakit lain. Bantuan kecemasan telah diberikan serta-merta sebelum dia disahkan meninggal dunia pada 6.20 pagi," menurutnya dalam kenyataan malam ini. 

Cik Ling berkata jasad mendiang dihantar ke Unit Forensik sebelum diserahkan kepada waris bagi tujuan pengurusan mayat.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah mengambil tindakan ketika laporan kes pertama diterima dengan menjalankan siasatan di lapangan, mengenal pasti pembekal, pemborong dan penjual yang terbabit dalam urus niaga ikan buntal itu. 

"JKNJ telah dan akan mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan Jabatan Perikanan dan beberapa universiti tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perikanan serta toksin atau racun untuk mendapatkan penyelesaian secara menyeluruh berhubung isu ini. 

"Justeru, kerajaan negeri dan JKNJ meminta agar warga Johor untuk sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang telah diketahui," katanya sambil menambah Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan juga sudah membuka kertas siasatan di bawah Akta Makanan 1983. 

Difahamkan, ini merupakan kali pertama pasangan warga emas yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang itu makan masakan berasaskan ikan buntal dengan mendapatkan bekalan daripada penjual secara pratempahan menerusi laman Facebook. 
Pada 28 Mac, Cik Ling berkata seorang wanita warga emas meninggal dunia pada 25 Mac manakala suaminya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dipercayai akibat keracunan selepas memakan ikan buntal. 

Pada 29 Mac lalu, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada memakan ikan buntal yang tidak diketahui jenisnya kerana hampir semua spesies itu mengandungi toksin yang boleh menyebabkan keracunan jika dimakan secara tidak betul.
 
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan