Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keracunan ikan buntal di Johor: Laporan makmal dijangka siap tiga minggu lagi

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih menunggu laporan makmal berhubung keracunan ikan buntal yang mengakibatkan dua warga emas maut, baru-baru ini, yang dijangka diperoleh dalam dua hingga tiga minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata ia bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum memutuskan tindakan seterusnya ke atas pembekal ikan tersebut.

Beliau berkata siasatan telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat, selain Polis Diraja Malaysia turut membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut.

“Kami sedang menunggu laporan daripada pihak makmal dan kita perlu berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan dan universiti tentang beberapa akta yang sedia ada ini, cukup tak sampai kita boleh dakwa pembekal tersebut.

“Siasatan masih dijalankan, harapnya dalam masa terdekat ini, kalau laporan (makmal) sudah keluar, kami akan umumkan perkembangan lanjut kepada pihak media,” kata beliau kepada para wartawan selepas majlis berbuka puasa dengan pengamal media pada Isnin (10 Apr).

Beliau menambah hasil laporan forensik menunjukkan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat keracunan ikan buntal.

Encik Ling berkata demikian ketika ditanya mengenai keluarga mangsa yang mahukan laporan daripada Jabatan Kesihatan Daerah mengenai kematian ahli keluarga mereka.

Menjawab pertanyaan wartawan sama ada penjualan ikan buntal boleh diharamkan di pasaran, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membeli ikan seumpama itu untuk dimakan.

Mengenai tindakan ke atas pembekal, Encik Ling berkata JKNJ telah merampas ikan-ikan buntal yang dijual dan diambil sampel untuk siasatan lanjut.

Pada bulan lepas, sepasang suami isteri warga emas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang, selepas mengalami keracunan ikan buntal, yang bekalannya diperoleh daripada penjual secara dalam talian melalui Facebook.

Wanita berusia 83 tahun itu meninggal dunia di hospital berkenaan pada 25 Mac manakala suaminya, yang berusia 84 tahun meninggal dunia di hospital sama pada Sabtu lepas (8 Apr).
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan