Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keputusan tunjukkan warga Johor sudah terima PH, kata Aminolhuda Hassan

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 di Johor menunjukkan rakyat di sini sudah menerima Pakatan Harapan, kata Aminolhuda Hassan.

Timbalan Pengerusi Pakatan negeri itu berkata beliau berterima kasih kepada rakyat Johor kerana memberi peluang sekali lagi kepada gabungan itu.

"Bagi saya, ini menunjukkan bahawa orang Johor lebih terbuka menerima pemimpin dari bangsa dan agama yang berbeza yang penting bagi kemajuan negara.

"Saya amat berterima kasih kepada warga Johor kerana memberi kami mandat untuk berkhidmat sekali lagi," kata beliau sewaktu dihubungi The Star pada Ahad (20 Nov).

Encik Aminolhuda yang juga ketua Johor Amanah, berkata bahawa kerusi parlimen yang tidak dapat dipertahankan pakatan mereka adalah Simpang Renggam yang dimenangi bekas Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

"Selain daripada itu, kami berjaya mempertahankan semua kerusi di bawah tiket Pakatan pada PRU14, termasuk kebanyakan kerusi yang diberikan kepada Bersatu.

"Hanya dua kerusi Bersatu yang tidak dapat kami menangi, iaitu kerusi Pagoh dan Tanjung Piai," tambah beliau, menurut laporan The Star.

Pakatan Johor membuat kemunculan yang hebat di PRU15 selepas memenangi 15 daripada 26 kerusi parlimen di negeri itu.

Barisan Nasional menang sembilan kerusi manakala Perikatan Nasional menang dua.

Semasa pilihan raya negeri pada Mac, Barisan memenangi 40 daripada 56 kerusi manakala Pakatan hanya memenangi 12 kerusi.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan