Keputusan tidak rasmi PRU Thailand dijangka diketahui lewat malam ini
BANGKOK: Keputusan tidak rasmi bagi pilihan raya umum (PRU) dan referendum Thailand dijangka diketahui pada lewat Ahad (8 Feb), menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (ECT).
Setiausaha Agung ECT Sawaeng Boonmee berkata pusat pengundian di seluruh negara akan ditutup pada pukul 5.00 petang waktu tempatan, dengan keputusan tidak rasmi pertama dijangka diterima bermula kira-kira pukul 6.00 petang.
“Undi akan diterima secara progresif dan menjelang sekitar pukul 10.00 malam hingga 11.00 malam, gambaran keseluruhan dijangka menjadi agak jelas,” katanya kepada wartawan pada Ahad.
Beliau berkata proses pengundian berjalan lancar sepanjang pagi Ahad, manakala peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi dijangka pada sebelah petang.
Kira-kira 52.9 juta pengundi layak untuk memilih 500 ahli Dewan Perwakilan serta mengundi dalam referendum mengenai penggubalan perlembagaan baharu.
Sementara itu, media Thailand melaporkan Perdana Menteri sementara Anutin Charnvirakul menunaikan tanggungjawab mengundi di wilayah Buri Ram, kubu kuat Parti Bhumjaithai pimpinannya, manakala beberapa pemimpin parti lain mengundi di Bangkok.
Pemimpin People’s Party Natthaphong Ruengpanyawut, Ketua Parti Demokrat Abhisit Vejjajiva dan calon perdana menteri Pheu Thai Yodchanan Wongsawat dilaporkan antara pengundi awal di kawasan pilihan raya masing-masing selepas pusat pengundian dibuka di seluruh negara pada pukul 8.00 pagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.