Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keputusan semakan Najib Razak dalam kes SRC diketahui selewat-lewatnya 31 Mac

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan Malaysia akan memutuskan permohonan Najib Razak untuk menyemak semula keputusan terdahulu dalam kes penyelewengan RM42 juta (S$13 juta) dana SRC International Sdn Bhd selewat-lewatnya 31 Mac ini.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, yang mengetuai panel lima hakim, berkata demikian selepas kedua-dua pihak selesai mengemukakan hujah masing-masing pada Selasa (28 Feb) pada prosiding yang berlangsung selama enam hari.

"Kami tidak boleh membuat keputusan hari ini. Pihak yang berkenaan akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 31 Mac," katanya.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Mantan Perdana Menteri itu memohon untuk membatalkan keputusan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas, yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International, atau agar rayuannya didengar semula.

Encik Najib, 69 tahun, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitannya dalam kes SRC International.

Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan beliau memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan