Skip to main content

Dunia

Keputusan rayuan saman kes liwat Anwar ditetapkan pada 23 Feb 2022

Mahkamah Rayuan hari ini (5 Nov) menetapkan 23 Feb tahun depan bagi memutuskan rayuan Encik Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula beliau berkaitan sabitan kes liwat membabitkan bekas pembantunya, Encik Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan rayuan saman kes liwat Anwar ditetapkan pada 23 Feb 2022

Anwar Ibrahim. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 Nov 2021 09:16PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 09:18PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini (5 Nov) menetapkan 23 Feb tahun depan bagi memutuskan rayuan Encik Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula beliau berkaitan sabitan kes liwat membabitkan bekas pembantunya, Encik Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Panel tiga hakim terdiri daripada Encik Lee Swee Seng, Encik Abu Bakar Jais dan Encik Supang Lian menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Encik Anwar iaitu Encik Gopal Sri Ram serta Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bagi pihak kerajaan dan peguam Encik Harvinderjit Singh, yang mewakili peguam Encik Muhammad Shafee Abdullah, sebagai pencelah dalam prosiding yang berlangsung secara maya.

Encik Anwar mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Nov 2017 yang membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula beliau selepas memutuskan kes itu sebagai tidak mempunyai asas dan sebarang bukti untuk menyokongnya.

Saman pemula Encik Anwar, yang difailkan pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan Malaysia, mendakwa beliau tidak mendapat perbicaraan adil dalam prosiding rayuannya berhubung sabitan kes liwat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memohon satu deklarasi bahawa sabitannya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires atau di luar kuasa Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak sah.
 
Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan juga adalah ultra vires dan oleh itu, terbatal serta tidak sah.

Afidavit Encik Anwar mendakwa Encik Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta (S$3 juta) daripada mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitan kes liwat beliau.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Encik Anwar bagi kesalahan meliwat Encik Mohd Saiful dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, Encik Anwar diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Terdahulu, Encik Sri Ram berhujah kes itu sepatutnya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya kebenaran mengenai isu pembayaran RM9.5 juta yang kononnya dibuat kepada Encik Muhammad Shafee bagi mengendalikan pendakwaan dalam rayuan kes liwat Encik Anwar dapat diuji.

“Kami berhujah bahawa peluang perlu diberikan kepada kami untuk menguji kesahihan pembayaran ini,” katanya sambil menambah Muhammad Shafee perlu disoal balas berhubung isu RM9.5 juta itu.

Encik Sri Ram berhujah perayu (Anwar) tidak mendapat perbicaraan yang adil susuli kegagalan Encik Muhammad Shafee mendedahkan pembayaran itu.

"Pembayaran itu dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai kepentingan dalam keputusan kes liwat Anwar," katanya.

Cik Suzana pula berhujah Encik Anwar mendapat perbicaraan yang adil di Mahkamah Tinggi apabila beliau dibebaskan daripada pertuduhan.

"Berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan menangguhkan dapatan Mahkamah Tinggi yang membawa kepada sabitan jenayah itu.

"Sabitan jenayah ini telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, permohonan ini yang bertujuan untuk membatalkan sabitan jenayah tersebut, adalah tindakan sampingan terhadap penghakiman Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan dan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian," katanya.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita