Skip to main content

Dunia

Keputusan rayuan anak Mat Sabu terhadap sabitan, hukuman bagi kes dadah 27 Okt ini

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini (30 Sep) menetapkan 27 Oktober untuk keputusan rayuan anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana penyalahgunaan dadah.

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan rayuan anak Mat Sabu terhadap sabitan, hukuman bagi kes dadah 27 Okt ini

Anak Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Sep 2021 09:31PM Dikemas Kini : 30 Sep 2021 09:33PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini (30 Sep) menetapkan 27 Oktober untuk keputusan rayuan anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana penyalahgunaan dadah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 33 tahun, dan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah.

Terdahulu, Encik Nasar berhujah, dalam kes itu pihak polis hanya mengambil satu sampel air kencing anak guamnya dan proses pengambilan sampel tersebut tidak mengikut peraturan serta terdapat percanggahan antara keterangan saksi pendakwaan berhubung sampel itu.

“Selain itu, terdapat kesilapan pada eksibit botol sampel air kencing itu dan kepincangan dalam rantaian penguasaan sampel tersebut selain sampel disimpan terlalu lama sebelum diuji di makmal,” katanya.

Cik Izalina berhujah prosedur pengambilan sebotol sampel air kencing ke atas perayu (Ahmad Saiful Islam) adalah memadai dan teratur mengikut undang-undang.

“Isu sampel air kencing dicemari tidak pernah dibangkitkan oleh pihak pembelaan kepada mana-mana saksi pendakwaan dan tiada pada bila-bila masa perayu membuat laporan polis yang mengatakan dia dianiaya berikutan proses pengambilan sampel air kencing yang konon tidak teratur.

“Oleh itu, Majistret (Mohamad Aizat Abdul Rahim) tidak tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu dan tiada faktor menyebabkan Mahkamah Tinggi perlu ubah dapatan Majistret. Pihak kami memohon rayuan perayu ditolak dan hukuman ke atasnya dikekalkan,” katanya.

Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun sama yang mensabitkannya atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara lapan bulan.

Majistret Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita