Keputusan permohonan Najib sudah dibuat, tunggu pengumuman Lembaga Pengampunan, kata PM Anwar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata keputusan permohonan pengampunan oleh mantan Perdana Menteri Najib Razak telah dibuat.
Beliau meminta agar semua pihak menunggu pengumuman keputusan itu daripada Lembaga Pengampunan.
“Dah ada kepastian (permohonan pengampunan Najib), tunggu pengumuman Lembaga Pengampunan,” kata beliau ketika ditanya media mengenai permohonan pengampunan oleh Najib selepas makan tengah hari di Medan Selera Pertama Complex, pada Jumaat (2 Feb).
Najib, 70 tahun, yang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 kerana menyeleweng RM42 juta (S$11.8 juta)dana SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 Sep 2022.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$59.3 juta) terhadap Najib selepas didapati bersalah atas masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.
PM Anwar sebelum itu meluangkan masa selama 20 minit di medan selera Pertama Complex untuk makan tengah hari yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Kamarulzaman Mat Salleh.
Beliau juga meluangkan masa menyantuni peniaga dan pengunjung di medan selera berkenaan sebelum bergerak menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.