Keputusan pembunuhan beramai-ramai Ampatuan bakal didedah Khamis ini
Dalang pembunuhan terburuk politik di Filipina akan mendapat tahu nasib mereka apabila mahkamah negara itu mengeluarkan keputusan Khamis ini (19 Dis), sekali gus merupakan ujian terhadap sistem kehakiman yang biasanya berat sebelah.
(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)
MANILA: Dalang pembunuhan terburuk politik di Filipina akan mendapat tahu nasib mereka apabila mahkamah negara itu mengeluarkan keputusan Khamis ini (19 Dis), sekali gus merupakan ujian terhadap sistem kehakiman yang biasanya berat sebelah.
Sedekad lalu, 58 orang termasuk 32 kakitangan media disembelih dan dibuang ke dalam lubang tepi jalan ketika serangan yang menjadi antara pembunuhan besar-besaran paling dahsyat di dunia melibatkan wartawan.
Di tengah-tengah kemarahan antarabangsa, pembunuhan itu mendedahkan masalah mendalam dalam dinasti politik berkuasa Filipina, serta akses mudah kepada senjata dan terlepas daripada hukuman.
Keluarga-keluarga mangsa sudah mengharungi perbicaraan 101 defendan yang dicemari dakwaan rasuah, kelewatan pembelaan, pembunuhan beberapa saksi dan kebimbangan pihak bersalah masih boleh dibebaskan.
“Satu keputusan bersalah akan memberi isyarat kuat kepada pelanggar hak asasi manusia bahawa mereka tidak sentiasa terlepas daripada pembunuhan.
“Satu keputusan tidak bersalah akan menjadi malapetaka buat penyokong hak asasi manusia dan keadilan,” menurut penyelidik Human Rights Watch, Carlos Conde yang berpangkalan di New York.
Para pemimpin keluarga berkuasa Ampatuan, yang memerintah wilayah miskin selatan Maguindanao, didakwa menganjurkan pembunuhan beramai-ramai pada 23 November 2009 dalam cubaan menghapuskan cabaran pilihan raya daripada puak lawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.