Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keputusan pecat, gantung keahlian UMNO dibuat secara kolektif, jelas Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Keputusan UMNO memecat serta menggantung keahlian beberapa ahlinya dibuat secara kolektif serta musyawarah demi kepentingan parti semata-mata dan tidak melibatkan kepentingan mana-mana individu, kata presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata tindakan itu diputuskan secara bersama demi kemaslahatan UMNO kerana sebarang anasir, termasuklah anasir dalaman yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepimpinan parti, memecah-belahkan atau mengganggu-gugat parti, perlu ditangani sebaik mungkin dengan respons sewajarnya.

Beliau berkata menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kemuafakatan, kebersamaan serta perpaduan UMNO bergerak sehati sejiwa perlu diperkasakan.

"Jika institusi ini dilemahkan dengan anasir dalaman yang merekayasa dakyah dan tohmahan, tentunya akan merosakkan keharmonian. Seperti saya katakan, kini bukan masa untuk menoleh.

"UMNO mengambil tindakan dan keputusan bersama demi kepentingan parti ini. Apa yang berlaku suatu penegasan oleh parti bahawa UMNO tidak pernah tentang individu... UMNO adalah mengenai rakyat dan negara.

"UMNO adalah sebuah perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Kesilapan lalu tidak boleh berulang. Gunting dalam lipatan perlu dikekang," katanya menerusi catatan di Facebooknya pada Isnin (3 Okt).

Presiden UMNO itu berkata mana-mana parti politik lain juga melakukan tindakan yang sama bagi memastikan institusi kepimpinan mereka dihormati.

Semasa mesyuarat UMNO Jumaat lalu, parti itu memutuskan untuk memecat Encik Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, pada Ahad, media melaporkan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail, mengesahkan beliau serta Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman digantung keahlian parti selama enam tahun.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan