Keputusan Nur Zulaikha pakai tangan palsu ditentukan Ahad
“Kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Khumaira ditemani ibunya di hospital. (Gambar: BERNAMA)
KUALA TERENGGANU: Keputusan sama ada Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7 tahun, yang terputus tangannya ketika membonceng motosikal, sesuai memakai tangan palsu akan diketahui selepas balutan pada bahagian yang dipotong dibuka esok (15 Jul).
Bapanya Encik Zulkifli Mohamad, 38 tahun, berkata: “Doktor maklumkan malam tadi keputusan akan ditetapkan esok (15 Jul). Buat masa ini saya cuma berharap anak sulung saya ini sihat dan kembali ceria seperti dulu.
“Sehingga kini keadaan Nur Zulaikha Khumaira semakin stabil dan mula berselera untuk makan.
“Setakat ini dia sudah boleh makan kentang putar dan minum air kosong sahaja kerana selepas diberi minuman berperisa seperti vitagen dia mula muntah,” katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini (14 Jul).
Tangan kiri Nur Zulaikha Khumaira terputus selepas baju (milik ibu) yang dipakainya tersangkut pada rim motosikal sekitar 9.30 malam kelmarin ketika membonceng ke rumah penghulu kampung bagi urusan pelajarannya.
Dalam pada itu, ibu kanak-kanak tersebut, Rohidayu Siup Yusof, 29 tahun, meminta orang ramai agar menghentikan penularan gambar wajah anaknya susulan kejadian itu bagi menghormati privasi serta kesedihan yang sedang dialami mereka.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Aidi Ismail mengingatkan orang ramai supaya tidak ambil mudah mengenai keselamatan anak-anak terutama melibatkan motosikal.
Menurut beliau, penjagaan keselamatan adalah aspek paling mustahak kerana dengan sedikit kecuaian, ia boleh mengundang kecelakaan seperti yang menimpa Nur Zulaikha Khumaira.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.