Skip to main content

Dunia

Keputusan Netanyahu tutup pintu sempadan Rafah langgar perjanjian gencatan senjata: Hamas

Hamas pada Sabtu (18 Okt) menyatakan keputusan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk terus menutup pintu sempadan Rafah merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata serta penolakan terhadap komitmen yang dibuat kepada pihak perantara.

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan Netanyahu tutup pintu sempadan Rafah langgar perjanjian gencatan senjata: Hamas

Penjabat Perdana Menteri Israel mengumumkan bahawa pintu sempadan Rafah akan kekal ditutup "sehingga diberitahu kelak". (Gambar: REUTERS/Stringer)

Diterbitkan : 19 Oct 2025 11:41AM
ISTANBUL: Hamas pada Sabtu (18 Okt) menyatakan keputusan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk terus menutup pintu sempadan Rafah merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata serta penolakan terhadap komitmen yang dibuat kepada pihak perantara.

Pejabat Encik Netanyahu sebelum itu mengumumkan bahawa pintu sempadan itu akan kekal ditutup “sehingga diberitahu kelak”, sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Pintu sempadan Rafah dijadualkan dibuka semula pada Rabu lalu sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober.

“Keputusan Netanyahu menghalang pembukaan semula pintu sempadan Rafah sehingga diberitahu kelak adalah satu pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata serta penolakan terhadap komitmen yang telah dibuat di hadapan pihak perantara dan penjamin.

“Penutupan berterusan Rafah — yang menghalang pemindahan mangsa cedera dan pesakit, menyekat pergerakan orang awam, menghalang kemasukan peralatan khas untuk mencari mangsa yang masih tertimbus, serta menghalang pasukan forensik daripada mengenal pasti mayat — akan melambatkan proses pemulihan dan penyerahan semula (mayat tawanan Israel),” menurut Hamas dalam satu kenyataan.

Hamas turut menyatakan bahawa “pelanggaran dan serangan Israel yang berterusan — dengan lebih 47 pelanggaran direkodkan sehingga kini, menyebabkan 38 kematian dan 143 cedera — sekali lagi membuktikan niat agresif Israel serta dasar kepungannya terhadap lebih dua juta penduduk Palestin di Gaza.”

Kumpulan itu turut menuduh Encik Netanyahu “mereka alasan palsu untuk menghalang pelaksanaan perjanjian dan mengelak daripada menunaikan tanggungjawabnya.” 

Hamas turut menggesa pihak perantara dan penjamin untuk bertindak segera dalam menekan Israel supaya membuka semula pintu sempadan dengan serta-merta, mematuhi semua syarat perjanjian dan menghentikan jenayah berterusan di Gaza.

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Hamas sudah membebaskan 20 tawanan Israel yang masih hidup dan menyerahkan 13 mayat sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 banduan Palestin.

Perjanjian dicapai antara Israel dan Hamas minggu lalu berdasarkan pelan berfasa yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. 

Pelan itu turut merangkumi pembinaan semula Gaza serta penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penglibatan Hamas.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita