Skip to main content

Dunia

Keputusan Mahkamah Saudi bagi kes bunuh Khashoggi dikritik dunia tetapi disokong Amerika

Keputusan mahkamah Saudi membebaskan para pegawai kanan putera mahkotanya atas tuduhan membunuh wartawan Jamal Khashoggi dikritik hebat banyak pihak dari merata dunia - yang menyifatkan keputusan itu sebagai "mempersendakan keadilan". 

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan Mahkamah Saudi bagi kes bunuh Khashoggi dikritik dunia tetapi disokong Amerika

Keputusan kes bunuh Khashoggi dikritik dunia. (Gambar: Ozan Kose/AFP)

Diterbitkan : 24 Dec 2019 08:59PM Dikemas Kini : 24 Dec 2019 09:02PM

RIYADH: Keputusan mahkamah Saudi membebaskan para pegawai kanan putera mahkotanya atas tuduhan membunuh wartawan Jamal Khashoggi dikritik hebat banyak pihak dari merata dunia - yang menyifatkan keputusan itu sebagai "mempersendakan keadilan". Bagaimanapun, sekutunya Washington menyokong keputusan itu.

Lima orang yang tidak dinamakan, dijatuhi hukuman mati pada Isnin (23 Dis) sementara tiga lagi dikenakan hukuman penjara selama 24 tahun keseluruhannya atas pembunuhan yang dipercayai dilakukan di bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Keputusan itu memburukkan lagi krisis diplomatik Saudi yang mencemarkan reputasi Putera Mahkota Mohammed bin Salman. Ia sekali gus menarik perhatian kepada rekod hak asasi manusia kerajaan itu.

Kes itu berkemungkinan besar terus membelenggu Arab Saudi sedang ia berusaha untuk merubah imejnya di mata dunia menjelang Sidang Puncak G20 di Riyadh tahun depan.

Seorang pegawai Jabatan Amerika Syarikat mengalu-alukan keputusan mahkamah dan menyifatkannya sebagai "langkah penting" bagi mempertanggungjawabkan para pesalah.

"Kami menggesa mereka agar lebih telus dan mempertanggungjawabkan semua pihak," tambah pegawai itu.

Namun, keputusan Mahkamah dikritik Turki, yang menyatakan ia keputusan "mengaibkan" yang memberi "kebebasan" kepada mereka yang mengupah para pembunuh. Kenyataan ini dipercayai merujuk kepada Putera Mahkota Mohammed.

Riyadh menyifatkan kes pembunuhan tersebut sebagai operasi "jahat" yang tidak melibatkan putera mahkota.

Namun, utusan khas CIA dan PBB, Agnes Callamard, mengaitkan secara langsung Putera Mohammed kepada pembunuhan tersebut, satu dakwaan yang dinafikan secara keras oleh kerajaan.

"Paling penting, mereka yang membunuh bersalah, dan sudah dijatuhi hukuman mati," menurut Cik Callamard menerusi kiriman tweet. Keputusan mahkamah dianggapnya sebagai "memperolok-olokkan (keadilan)".

"Dalang-dalang tidak sahaja bebas. Mereka malah tidak disiasat dan dibicarakan."

Mahkamah Riyadh mengadakan sembilan sesi perbicaraan bagi kes itu, yang dihadiri para wakil masyarakat antarabangsa dan keluarga Khashoggi.

Rayuan boleh dikemukakan terhadap keputusan mahkamah.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita