Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keputusan kes rasuah Rosmah babitkan projek tenaga suria hibrid diketahui 7 Julai

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Keputusan dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor, 70 tahun, terhadap pertuduhan rasuah membabitkan projek tenaga suria hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak akan diketahui pada 7 Julai ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes berkenaan hari ini (12 Mei).

“Kita telah sampai ke penghujung kes ini dan sudah tiba masa untuk penentuannya. Saya bercadang untuk mengambil masa selama dua bulan dari tarikh hari ini untuk mengemukakan penghakiman penuh bertulis pada 7 Julai semasa menyampaikan keputusan saya.

“Saya akan sampaikan keputusan saya pada pukul 9.00 pagi pada tarikh berkenaan,” katanya.

Awal dari itu, pendakwa utama Gopal Sri Ram mengemukakan dua kes perundangan terkini sebagai nas undang-undang, manakala peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader, pula berkata beliau baru menerimanya hari ini dan memohon lebih masa untuk menjawabnya.

Hakim Mohamed Zaini kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan dengan memberikan masa yang diperlukan dan memberitahu mereka untuk menyatakan jawapan itu pada penghujahan bertulis.

"Jangan risau, saya pasti akan lihat penghujahan itu. Saya telahpun melihat hujahan awal anda sekurang-kurangnya sekali dan saya akan lihatnya sekali lagi,” katanya.

Pada 23 Februari tahun ini, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Siti Azizah Sheikh Abod.

Pada 18 Februari tahun lalu, Rosmah diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Beliau berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta (S$59.6 juta) dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta (S$2.06 juta) daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion (S$397 juta) secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan