Skip to main content

Dunia

Keputusan kes dana Armada, Syed Saddiq diputuskan pada 13 Jul

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan kes dana Armada, Syed Saddiq diputuskan pada 13 Jul

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman pada 13 Julai 2026. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Jul 2026 10:32AM
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman pada Isnin (13 Jul) bagi mendengar keputusan sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat tuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Syed Saddiq, 33 tahun, tiba pada pukul 8.50 pagi, diiringi ibu dan bapanya Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta tunangnya yang juga pelakon, Bella Astillah.

Para pengamal media dan keluarga Syed Saddiq dilihat berada di pekarangan Istana Kehakiman seawal pukul 7.00 pagi.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 9.00 pagi.

Keputusan rayuan akhir pendakwaan itu sepatutnya disampaikan pada 30 Jun lalu, namun ditangguhkan berikutan Hakim Che Ruzima mengambil cuti sakit.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat tuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta (S$3.1 juta) yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta (S$320,000) di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020. 

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut berdepan tuduhan menyalahgunakan RM120,000 (S$38,040) milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 (S$15,850) ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.
 
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita