Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keputusan guna sekolah menengah sebagai pusat mengundi akan diumum selepas pertemuan KPM, SPR

Anggaran Waktu Membaca:

KLUANG: Keputusan rasmi mengenai penggunaan sekolah menengah di Johor sebagai pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan akan dibuat selepas pertemuan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa (22 Feb).

Timbalan Menteri Pendidikan II, Mohamad Alimin berkata pertemuan antara Menteri Pendidikan dan pihak SPR itu diadakan di Putrajaya.

Beliau berkata sekiranya keputusan yang dibuat SPR untuk menggunakan premis berkenaan tetap dilakukan, pihak KPM akur kerana ia termaktub dalam tuntutan Akta Pilihan Raya 1958.

“Kita memahami ketika PRN Johor nanti ada sebahagian bangunan sekolah termasuk bilik darjah akan digunakan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun kita akan pastikan keadaan selamat.

“Kita di KPM juga akan meminta semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya berkenaan termasuk SPR untuk membantu memastikan tiada sebarang risiko terutama kepada calon SPM,” kata beliau kepada pemberita selepas lawatan kerja beliau ke daerah Kluang pada Selasa (22 Feb).

Mohamad berkata KPM juga meminta pihak terlibat dalam proses pengundian semasa PRN Johor untuk membantu memastikan kelancaran peperiksaan SPM yang akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac depan.

“Kita di KPM juga berharap agar prosedur operasi standard (SOP) dipertingkat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan calon SPM,” kata beliau.

KPM sebelum ini memohon kerjasama SPR agar sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan yang telah disusun atur terganggu.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan penamaan calon pada Sabtu ini, manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan