Kepungan sekeliling Kaabah dibuka semula selepas selesai kerja-kerja penyenggaraan
Kaabah pada 16 Disember 2023. (Gambar: Mohd Sukor Abdullah/Facebook)
MAKKAH: Kepungan di sekeliling Kaabah, kiblat umat Islam di merata dunia telah dibuka semula selepas selesai kerja-kerja penyenggaraan.
Kaabah telah dikepung buat sementara waktu sejak awal bulan ini selepas ada laporan kain kiswah yang menutupi sebahagian kiblat umat Islam itu rosak.
Menurut Pejabat Pengurusan Projek Kementerian Kewangan Arab Saudi, kerja-kerja penyenggaraan ke atas Kaabah itu dijalankan dengan penyelarasan beberapa agensi kerajaan.
Ia dilaporkan sejajar dengan usaha berterusan kerajaan Raja Salman memastikan Kaabah berada dalam keadaan yang terbaik.
Selain membaiki kain kiswah, pembersihan bangunan Kaabah termasuk pancuran emas yang menyalurkan air keluar dari bahagian atap juga dijalankan semasa proses penyenggaraan berkala kali ini.
Kali terakhir proses penyenggaraan Kaabah ini dijalankan adalah sekitar empat tahun lalu.
Kepungan sekeliling Kaabah kali ini bagaimanapun mengejutkan beberapa jemaah yang belum pernah melihat kiblat umat Islam ini dihalangi sejak pandemik COVID-19, lebih dua tahun lalu.
Menurut jemaah umrah dari Singapura, Encik Malik, beliau terkejut melihat Kaabah ditutup setibanya beliau di pekarangan Masjidil Haram, awal bulan ini.
Mujur beliau sempat melihat Kaabah sepenuhnya apabila tiba di Makkah dari Singapura beberapa hari sebelumnya.
Menurut Encik Malik, beliau bagaimanapun rasa terkilan kerana tidak dapat menyentuh dinding atau kain kiswah Kaabah seperti sebelum ini.
Perkembangan ini berlaku ketika waktu sibuk cuti sekolah dan akhir tahun di merata dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.