Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keprihatinan mengenai 'budaya Arab' di Malaysia kian meningkat, sedang hubungan dengan Saudi semakin erat

Hubungan antara Malaysia dengan Arab Saudi yang semakin erat dan muhibah - dan doktrin-doktrin Salafi-Wahhabi - kini semakin mendapat perhatian, sedang keprihatinan mengenai amalan-amalan agama dan budaya yang bersifat tradisional semakin terhakis dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Keprihatinan mengenai 'budaya Arab' di Malaysia kian meningkat, sedang hubungan dengan Saudi semakin erat

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar fail: OLIVIA HARRIS/REUTERS)

Diterbitkan : 23 Dec 2017 03:31PM Dikemas Kini : 24 Dec 2017 02:47PM

KUALA LUMPUR: Hubungan antara Malaysia dengan Arab Saudi yang semakin erat dan muhibah - dan doktrin-doktrin Salafi-Wahhabi - kini semakin mendapat perhatian, sedang keprihatinan mengenai amalan-amalan agama dan budaya yang bersifat tradisional semakin terhakis dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama itu.

Keprihatinan itu semakin meningkat menyusuli beberapa kejadian yang berlaku baru-baru ini. Sikap kurang senang terhadap golongan ateis dan mereka yang tidak menganut sebarang agama atau kepercayaan serta masyarakat LGBT semakin meningkat. Dua pesta bir yang biasanya diadakan setiap tahun juga dibatalkan selepas para pemimpin Islam membantah acara tersebut. Seorang pendakwah tegar, yang dituduh menyebarkan kebencian di India, sebaliknya mendapat sokongan rasmi.

Kerajaan Malaysia menyokong satu rang undang-undang parlimen yang memberikan mahkamah syariah bidang kuasa yang lebih luas terhadap Muslim di Kelantan. Selepas para pegawai agama menyokong sebuah kedai lobi layan diri yang dibuka khas bagi para pelanggan Muslim saja, sebuah keluarga Diraja di Malaysia tiba-tiba masuk campur dalam hal tersebut - iaitu sesuatu yang jarang sekali berlaku - dan menyeru agar keharmonian agama terus dipelihara di negara itu.

Marina Mahathir, anak perempuan mantan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, secara terbuka mengecam tindakan kerajaan negara itu membiarkan Malaysia dipengaruhi oleh budaya Arab.

Cik Marina, yang menerajui kumpulan hak sivil Sisters in Islam, memberitahu Reuters bahawa pengaruh Arab Saudi mengenai Islam di Malaysia "menjejas budaya Melayu" di negara itu. 

Bapanya, 93 tahun, kini menerajui pakatan pembangkang di Malaysia.

Fahaman Wahhabi yang dipegang Arab Saudi sudah banyak mempengaruhi Malaysia dan negara jiran Indonesia sejak beberapa dekad dan kelihatan semakin kukuh sejak Najib Razak menjadi perdana menteri negara itu pada 2009 dan mula berbaik-baik dengan negara tersebut.

Hubungan antara Malaysia dengan Arab Saudi mendapat perhatian apabila hampir AS$700 juta (S$941 juta) didapati disalurkan ke dalam akaun bank Encik Najib pada 2013. Encik Najib mendakwa bahawa dana itu adalah sumbangan derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi, sambil menolak keras dakwaan yang menuduh dana itu disalurkan daripada dana pelaburan Malaysia, 1MDB yang diasaskan dan diselia oleh Encik Najib.

Trend mempolitikkan Islam di Malaysia, khususnya di kalangan golongan yang berpendapatan sederhana, mengejutkan penduduk bukan Muslim, termasuk golongan Cina yang membentuk suku daripada jumlah penduduk di negara itu dan yang menguasai sektor perdagangan swasta di Malaysia.

Trend itu juga merupakan satu keprihatinan bagi para pelabur asing, yang membentuk hampir separuh daripada pasaran bon tempatan dan yang sudah melaburkan AS$8.95 bilion kepada projek-projek pelaburan dari Januari hingga September tahun ini.

Kerajaan Malaysia dengan tegas menolak dakwaan menggalak pemikiran konservatif yang dipengaruhi oleh fahaman Wahhabi.

Encik Najib, bagaimanapun, tidak mengeluarkan komen mengenai kontroversi-kontroversi agama yang berlaku sejak kebelakangan ini. Para pengkritik menuduh perdana menteri itu, yang partinya gagal mendapat undian popular dalam pilihan raya umum sebelum ini namun kekal memperolehi undi majoriti mudah di parlimen, sengaja mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat dengan mendakwa bahawa Islam dan kuasa politik Melayu akan tergugat sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya akan datang. Pilihan raya umum seterusnya dijangka didadakan menjelang pertengahan 2018.

ISU-ISU YANG MENARIK PERHATIAN JELANG PILIHAN RAYA UMUM

Kegiatan pengganasan juga kian meningkat di Malaysia. Dari 2013 hingga 2016, lebih 250 orang yang ada kaitan dengan kumpulan militan ISIS sudah ditangkap. Ramai daripada mereka didapati terpengaruh dengan fahaman radikal.

Menyusuli lawatan raja Arab Saudi tahun ini, Malaysia mengumumkan rancangan untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman bagi menggalak kerjasama antara para cendekiawan Islam dengan agensi-agensi risikan. Ini dalam usaha membanteras fahaman pelampau.

Pusat itu, yang dibangunkan di sebuah tapak seluas 16 hektar di Putrajaya, akan memanfaatkan sumber-sumber daripada Universiti Sains Islam Malaysia yang dibiayai Arab Saudi dan Liga Muslim Sedunia, iaitu sebuah pertubuhan Wahhabi.

Sejak sekian lama, Arab Saudi menampung masjid-masjid dan sekolah-sekolah di Malaysia, sambil menawarkan biasiswa untuk rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di universiti-universiti negara itu. Ramai daripada mereka kemudian mendapatkan pekerjaan di pelbagai agensi Islam di Malaysia, kata Farouk Musa, pengerusi dan pengarah Islamic Renaissance Front.

Salah satu doktrin yang paling membimbangkan yang disampaikan di Malaysia adalah doktrin yang berdasarkan 'al-w ala' wa-al-bara' iaitu "taat setia dan penafian", kata Farouk. "Secara dasar, ini bermakna umat Islam tidak boleh berbaik-baik dengan orang kafir meskipun mereka adalah saudara mara terdekat."

"Kami tidak pernah terdengar tentang cendekiawan Islam yang sebelum ini mengharamkan Muslim daripada mengucapkan Selamat Menyambut Krismas, sebagai contoh. Namun, ia kini menjadi satu fenomena biasa," kata beliau.

Budaya Arab dan tafsiran Islam yang dipegang teguh itu mungkin berpunca daripada pendedahan yang semakin meluas kepada rakyat Timur Tengah dan universiti-universitinya, kata Abdul Aziz Kaprawi, anggota Majlis Tertinggi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

"Penggunaan media sosial yang semakin meluas juga telah mempercepatkan penyebaran pengaruh luar terhadap para penduduk tempatan," kata beliau kepada Reuters.

Kerajaan Malaysia tidak menggalak fahaman Wahhabi, sebaliknya konsep "wasatiyyah", atau kesederhanaan dan keseimbangan, bagi menampung masyarakat Malaysia yang berbilang budaya, kata Abdul Aziz, yang juga timbalan menteri wilayah.

PENYUSUNAN SEMULA OLEH PUTERA MAHKOTA?

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi hak budaya, Karima Bennoune, melahirkan keprihatinan mengenai pelibatan pihak berkuasa agama dalam keputusan-keputusan berhubung dasar-dasar Malaysia dalam laporannya selepas melakukan lawatan ke negara itu pada bulan September. Beliau berkata ini dipengaruhi oleh "versi hegemoni Islam yang dibawa masuk daripada Semenanjung Arab" yang "bercanggah dengan amalan-amalan tempatan".

Cik Bennoune turut menyuarakan keprihatinannya mengenai tindakan "mengharamkan buku-buku, termasuk beberapa buku tentang agama Islam yang moderat dan progresif, di Malaysia meskipun kerajaan negara itu sendiri memuji konsep-konsep tersebut di luar negara".

Cik Marina berkata jabatan-jabatan agama yang terdiri daripada kakitangan yang merupakan lulusan dari Arab Saudi "kini diminta memberi pandangan mengenai pelbagai perkara, dari filem hingga kepada kesihatan dan perubatan serta insurans, dan macam-macam lagi di mana mereka tidak semestinya adalah pakar dalam bidang-bidang berkenaan."

Arab Saudi juga mempengaruhi negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam seperti Indonesia dan Malaysia menerusi kuota jemaah haji yang diberikan kepada negara-negara itu bagi ibadah haji, salah satu rukun Islam yang mewajibkan umat Islam mengerjakan ibadah tersebut sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat mereka.

Namun, ini semua mungkin akan berubah jika Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman berhasil membawa konsep "Islam moderat" ke negara itu, yang menurut beliau pernah diamalkan sebelum 1979.

Beliau sudahpun mengawal peranan polis agama, membenarkan konsert-konsert awam diadakan di negara itu dan mengumumkan bahawa kaum wanita kini dibenarkan memandu.

Arab Saudi juga sudah menubuhkan sebuah badan penguasa yang akan meneliti penggunaan "hadis" bagi mencegah mereka daripada menyalahgunakannya atas alasan untuk melancarkan keganasan atau serangan pengganas. 

Sumber : Reuters/AI/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa