Skip to main content

Dunia

Kepimpinan PH kekal utuh, tidak terpengaruh usaha pengkhianatan dalaman: PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim berkata kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang merangkumi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) ketika ini kekal utuh dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang usaha penghasutan ke arah pengkhianatan dalaman.

Anggaran Waktu Membaca:
Kepimpinan PH kekal utuh, tidak terpengaruh usaha pengkhianatan dalaman: PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim menyampaikan amanatnya pada kemuncak Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di Johor Bahru, pada 17 Mei 2026. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 May 2026 08:07PM
JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim berkata kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang merangkumi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) ketika ini kekal utuh dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang usaha penghasutan ke arah pengkhianatan dalaman.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanatnya pada kemuncak Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di Johor Bahru, pada Ahad (17 Mei).

“Sepanjang tiga tahun Kerajaan MADANI, kita tidak pernah menghasut atau berniat mengkhianati kawan-kawan... kita dengar, kita ubah suai dan bergerak dengan cermat kerana kita mahu kerajaan ini stabil dan negara aman... politik harus stabil, negara harus aman,” kata Encik Anwar.

Perdana Menteri Malaysia itu turut membidas sikap segelintir pihak yang disifatkan sebagai apologetik dan hanya berani menyasarkan isu-isu kecil, tetapi mendiamkan diri terhadap pihak yang menyeleweng kekayaan negara.

Kata Encik Anwar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinannya tidak akan bertolak ansur dengan amalan rasuah khususnya melibatkan golongan elit dan individu berpangkat tinggi termasuk Tun serta Tan Sri yang didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan.

“Ini pasukan dalam Jemaah Menteri yang bekerja... bukan pasukan yang merompak kekayaan... isu pokok reformasi ialah kita benci kezaliman dan orang yang menggunakan jawatan untuk mengaut kekayaan berbilion ringgit... perkara ini sudah berjaya kita hentikan dalam kalangan pimpinan,” kata beliau.

Menyentuh tentang prestasi Kerajaan MADANI, Encik Anwar meminta ahli dan penyokong PH agar tidak hanya bersikap defensif sebaliknya tampil mempertahankan pencapaian ekonomi negara yang semakin kukuh.

Beliau berkata antara pencapaian utama Kerajaan MADANI ialah unjuran pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) suku pertama tahun ini sebanyak 5.4 peratus, pelaburan tertinggi dalam sejarah, kadar pengangguran dan inflasi yang rendah serta peningkatan gaji kakitangan awam tertinggi dalam sejarah Malaysia.

“Angka-angka ini harus dihadam kerana kalau tidak diterangkan, orang lebih senang dengar masalah kecil dan lupa rangka besar yang kita sedang bina.

“Kita berikan syarat prestasi harus baik, jangan biarkan rakyat menunggu lama untuk urusan... ini yang kita sentiasa pantau,” kata Encik Anwar.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita