Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keperluan Johor perlu diutamakan jika berlaku krisis air, kata menteri M'sia

Kerajaan Malaysia akan mengutamakan keperluan air penduduk Johor dan bukan "orang luar" jika berlaku krisis air, kata Menteri Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar pada Selasa (12 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Keperluan Johor perlu diutamakan jika berlaku krisis air, kata menteri M'sia

Dr Xavier Jayakumar. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 13 Nov 2019 03:54PM Dikemas Kini : 13 Nov 2019 04:00PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan mengutamakan keperluan air penduduk Johor dan bukan "orang luar" jika berlaku krisis air, kata Menteri Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar pada Selasa (12 Nov).

Semasa berucap di parlimen, Dr Xavier menggesa pemerintah Singapura supaya "bersikap lebih terbuka" kepada saranan Malaysia untuk menyemak semula harga air mentah berdasarkan Klausa 14 Perjanjian Air 1962.

"Ini kerana tekanan pada permintaan air akan menjejas Johor dan juga Singapura," katanya.

Menteri itu berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Parlimen Segamat R. Santhara Kumar mengenai perkembangan terkini tentang bekalan air di Johor, termasuk penjualan air mentah kepada Singapura dan langkah-langkah untuk memastikan bekalan air yang mampan dalam jangka panjang.

Dalam jawapannya, Dr Xavier berkata peruntukan besar untuk perbelanjaan modal diperlukan untuk meningkatkan margin simpanan air negeri kepada 10 peratus, seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. Pelaburan besar juga diperlukan untuk menangani perubahan iklim dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan, tambah beliau.

Sekiranya usaha untuk menanganinya tidak dilaksanakan untuk meningkatkan bekalan air yang sudah dirawat, Johor Bahru misalnya akan mempunyai margin simpanan air sifar pada suku ketiga tahun depan, menurut Dr Xavier.

Margin simpanan air peringkat daerah kini di paras kira-kira 4 peratus, kata menteri itu, dengan permintaan untuk air terawat dijangka meningkat 3.5 peratus setiap tahun disebebkan oleh pembangunan yang pesat.

"Bagi menangani defisit, Johor buat masa ini bergantung kepada air terawat yang dibekalkan oleh Singapura - 70 juta liter sehari (pada hari biasa) atau 96 juta liter sehari semasa musim kemarau dan musim panas," kata beliau.

"Berdasarkan Perjanjian Air Sungai 1962, Singapura hanya perlu membekalkan 22 juta liter sehari. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan bekalan air kekal mampan di Johor dalam jangka panjang, termasuk mengurangkan pergantungan kepada bekalan air terawat dari Singapura," tambah Dr Xavier.

Di bawah Perjanjian Air 1962, Singapura berhak mendapatkan 250 juta gelen sehari (mgd) air dari Sungai Johor.

Singapura membayar 3 sen bagi setiap seribu gelen air mentah dan menjual air yang sudah dirawat kepada Johor pada harga 50 sen setiap seribu gelen, sebahagian kecil daripada kos merawat air.

Johor berhak mendapatkan bekalan air terawat sehingga 2 peratus atau 5 mgd setiap hari yang dibekalkan kepada Singapura. Hakikatnya bagaimanapun, Singapura membekalkan 16 mgd air terawat kepada Johor atas permintaan negeri itu. Tamat tempoh perjanjian tersebut adalah pada tahun 2061.

Malaysia sebelum ini mengakui bahawa pihaknya memilih untuk tidak menyemak semula perjanjian pada 1987 kerana ia mendapat manfaat daripada perjanjian tersebut.

Kedua-dua negara turut mendedahkan bahawa peguam negara masing-masing akan meneruskan rundingan untuk "memahami kedudukan masing-masing dengan lebih baik" berhubung hak untuk menyemak semula harga air.

Semasa satu sidang media bersama antara pemimpin dari kedua-dua negara pada 9 April, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyuarakan keprihatinan Singapura kepada kerajaan Malaysia berhubung pencemaran di Sungai Johor serta bekalan air daripada sungai tersebut dalam jangka panjang.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kerja-kerja PUB di Kota Tinggi terpaksa dihentikan disebabkan paras ammonia yang tinggi di sungai berkenaan.

Menurut PM Lee, jika Sungai Johor mengalami pencemaran yang serupa dengan Sungai Kim Kim pada Mac lalu, maka kesannya "akan memudaratkan kedua-dua negara".

PELABURAN TIDAK BERBALOI JIKA DIBANDINGKAN DENGAN HARGA AIR MENTAH

Dalam kenyataannya kepada media pada Selasa, Dr Xavier mendakwa Malaysia memberi subsidi kepada Singapura dengan menjual air mentah pada harga yang sangat rendah.

"Subsidi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada Singapura sejak 1962 sudah mencecah berbilion ringgit. Dan ini tidak mengambil kira air mentah yang dibekalkan kepada Singapura dari tahun 1927 hingga 1961.

"Jika 250 mgd air mentah yang dijual kepada Singapura dibekalkan kepada penduduk Johor dalam bentuk air terawat, keuntungannya boleh mencecah kira-kira RM14.7 bilion (dari 1987 hingga 2018). Keuntungan itu pastinya boleh digunakan untuk membantu Malaysia membangunkan bekalan air yang mampan di Johor," kata beliau.

Menteri itu menambah bahawa meskipun kementeriannya menghormati tanggungjawab Malaysia seperti yang termaktub dalam perjanjian 1962, Malaysia mengorbankan bekalan air untuk penduduk Johor demi memenuhi kepentingan pihak lain.

Perbelanjaan besar ditanggung untuk memastikan Singapura mendapatkan 250 mgd air mentah dari Sungai Johor, tegas beliau.

"Sebagai contoh, kementerian membelanjakan hampir RM100 juta untuk membina bendungan di Sungai Johor bagi mencegah air masin daripada memasuki sungai itu. Jelas sekali pelaburan besar tidak sepadan dengan harga air mentah 3 sen bagi setiap seribu gelen," katanya dalam kenyataan itu.

Johor memiliki Empangan Linggiu tetapi Singapura sudah membayar lebih S$300 juta untuk membiayai kos pembinaan dan operasinya, selain membayar pampasan bagi tanah yang digunakan bagi Kolam Air Linggiu, dengan potensi mengalami kerugian akibat kegiatan-kegiatan pembalakan dan bayaran sekali saja bagi pajakan tanah untuk baki tempoh perjanjian 1962.

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan