Kenyataan bercanggah dari rundingan Amerika-China tambah kekeliruan dalam perdagangan global

Presiden Donald Trump bercakap dengan wartawan semasa beliau dan isterinya Melania Trump berlepas menaiki Marine One dari Halaman Selatan Rumah Putih pada Jumaat, 25 April 2025, di Washington. (Gambar: Reuters)
Encik Trump memberitahu majalah TIME bahawa rundingan sedang berlangsung dan Presiden China Xi Jinping sudah menghubunginya. Dakwaan itu diulanginya kepada para wartawan ketika beliau meninggalkan Rumah Putih pada Jumaat (25 Apr) untuk ke Rome untuk menghadiri pengebumian Pope Francis.
Cukai timbal balik Amerika memburukkan lagi keadaan tidak menentu berkaitan dasar tarif Trump yang tidak menentu.
Selain China, ia mengaitkan berpuluh-puluh negara lain yang bergelut untuk mencapai perjanjian masing-masing demi meringankan beban cukai import yang besar yang dikuatkuasakan sejak Encik Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari.
Namun, meskipun pegawai Encik Trump termasuk Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent menggembar-gemburkan tanda-tanda kemajuan yang pantas dicapai, ramai rakan sejawatan mereka bersikap lebih berhati-hati. Dalam pada itu, ketua-ketua kewangan di IMF kembali ke tanah air masing-masing untuk memperbaharui desakan agar dikurangkan risiko yang berpunca daripada tarif.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, pentadbiran Encik Trump memberi gambaran bahawa pihaknya sedang berusaha untuk meredakan ketegangan dengan China, dengan Encik Bessent berkata bahawa kedua-dua pihak melihat keadaan semasa sebagai sesuatu yang tidak boleh diteruskan.
Sementara itu, Encik Trump memberitahu para wartawan di Rumah Putih bahawa beliau sangat hampir mencapai perjanjian dengan Jepun.
Ia dilihat oleh para penganalisis sebagai satu percubaan untuk menguji sama ada perjanjian perdagangan dua hala lain boleh dicapai, meskipun rundingannya mungkin sukar.
Ada yang menjangkakan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba dan Encik Trump akan mengumumkan satu perjanjian apabila mereka bertemu di sidang puncak G7 di Kanada pada bulan Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.