Skip to main content

Dunia

Kenderaan ke KL dijangka naik hampir seganda sempena Tahun Baharu Cina

Polis menjangkakan jumlah kenderaan memasuki ibu negara meningkat hampir seganda sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari ini, berikutan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan membeli-belah.
Anggaran Waktu Membaca:
Kenderaan ke KL dijangka naik hampir seganda sempena Tahun Baharu Cina
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus pada pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina Kontinjen Kuala Lumpur di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar: Bernama)
Diterbitkan : 13 Feb 2026 09:25PM
KUALA LUMPUR: Polis menjangkakan jumlah kenderaan memasuki ibu negara meningkat hampir seganda sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari ini, berikutan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan membeli-belah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata berdasarkan data harian, lebih tiga juta kenderaan dicatat memasuki Kuala Lumpur setiap hari dan jumlah itu dijangka meningkat ketara menjelang musim perayaan, khususnya di kawasan pusat bandar.

“Perkara ini merupakan cabaran kepada pihak polis. Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan titik panas dan akan menggandakan kawalan keselamatan termasuk di lokasi tumpuan orang ramai,” kata beliau.

Encik Fadil berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Ops Selamat 25 bersempena dengan Tahun Baharu Cina di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur pada Jumaat (13 Feb).

Menurut Encik Fadil, bagi memastikan kelancaran trafik, pihaknya turut melaksanakan Ops Lancar bermula dari 11 hingga 22 Februari dengan menempatkan anggota di lokasi strategik serta menjalankan pemantauan berterusan di 15 lokasi titik hitam (black spot) dan 30 titik panas (hotspot).

Antara lokasi titik hitam yang dikenal pasti, kata beliau, ialah Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Sungai Besi, Jalan Damansara, Jalan Kepong dan Lebuhraya Sultan Iskandar.

Sementara itu, kawasan titik panas pula termasuk Bulatan Segambut, Bulatan Kepong, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Yap Kwan Seng, Bulatan Kampung Pandan dan Jalan Istana.

Titik hitam merujuk kepada kawasan yang kerap berlaku kemalangan atau mempunyai tahap risiko keselamatan jalan raya yang tinggi, manakala titik panas pula merupakan lokasi tumpuan orang ramai dan kenderaan yang berpotensi menyebabkan kesesakan.

Sehubungan dengan itu, Encik Fadil menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan penguat kuasa bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar sepanjang tempoh perayaan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita