Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kenapa tukang gunting ini disebut sebagai 'P.Ramlee Cina'...

Namun Kedai Gunting Rambut Ah Kim diberi jolokan Kedai Gunting Rambut P.Ramlee oleh penduduk setempat dan dimuat naik dalam carian Google.

Anggaran Waktu Membaca:
Kenapa tukang gunting ini disebut sebagai 'P.Ramlee Cina'...

Pemilik Kedai Gunting Rambut Ah Kim, Encik Ng Kim Soi, yang digelar P.Ramlee Cina. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 26 Dec 2019 11:11PM Dikemas Kini : 26 Dec 2019 11:15PM

REMBAU: 'Kedai Gunting Rambut P.Ramlee' di Jalan Dato Undang Negeri Sembilan, Malaysia, tidak ada kena mengenai dengan Allahyarham Seniman Agung P.Ramlee atau keluarganya kerana kedai itu milik seorang warga emas berbangsa Cina.

Namun Kedai Gunting Rambut Ah Kim diberi jolokan Kedai Gunting Rambut P.Ramlee oleh penduduk setempat dan dimuat naik dalam carian Google kerana pemiliknya merupakan peminat tegar seniman agung itu walaupun P.Ramlee sudah 46 tahun meninggal dunia.

Apa tidaknya setiap pelanggan akan didendangkan dengan lagu Allahyarham P.Ramlee terutamanya ‘Jangan Tinggal Daku’ dan ‘Getaran Jiwa’ oleh Encik Ng Kim Soi, 75 tahun, ketika proses menggunting rambut dengan lontaran suara serta sebutan yang mirip dengan seniman agung itu.

Tidak hairan sekiranya Ng mendapat jolokan sebagai ‘P.Ramlee Rembau’ dalam kalangan penduduk setempat.

"Mana-mana pelanggan yang baru berkunjung ke kedai saya, mereka akan menganggap saya sebagai orang Melayu kerana suara saya tidak seperti orang Cina termasuk ketika menyanyikan lagu P. Ramlee," katanya ketika ditemui agensi berita Bernama.

Menjadikan P. Ramlee sebagai ikonnya, Encik Ng mengakui beliau mula minat untuk belajar menyanyi mengikut alunan lontaran suara seakan-akan seniman agung itu sejak berusia 16 tahun, di samping kehidupan bersama masyarakat Melayu, menjadikan lagu Melayu tidak asing bagi beliau.

“Ketika itu, saya mengikut semua bait-bait lirik yang dinyanyikan P.Ramlee hanya berbekalkan piring hitam ketika era 60-an,” kata Encik Ng.

Dek kerana sentiasa ‘dahagakan’ lagu dendangan P.Ramlee, beliau juga terpaksa mengikuti perubahan zaman dan mula beralih kepada kaset, kemudian diikuti cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD).

"Zaman dahulu memang susah untuk belajar (kelas) menyanyi, dan saya bermula dari piring hitam, kemudian kaset yang saya pasang ketika menggunting rambut pelanggan dan dalam masa yang sama saya belajar menyanyi.

“Selepas itu beralih pula ke zaman lebih moden, dan saya mula mencari CD dan VCD selain meminjam daripada  penduduk kampung untuk saya belajar lagu-lagu P. Ramlee yang masih belum saya dengar dan hafal,” katanya.

Namun kini menurut Encik Ng, beliau  boleh menikmati lagu dendangan seniman agung  itu menerusi carian di internet.

“Ketika ini mudah untuk dicari kerana semua perkara kita boleh dapat dihujung jari. Tekan sahaja P. Ramlee semua keluar di internet," katanya.

Mengimbau kenangan manis, bapa kepada lima orang anak itu berkata beliau pernah menerima undangan untuk menyertai pertandingan menyanyi di Singapura suatu ketika dahulu, namun akibat kesempitan hidup, beliau terpaksa membatalkan hasrat tersebut.

"Saya juga pernah di undang untuk menyanyikan lagu P. Ramlee ketika (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10) Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman masih hidup dan saya amat berbangga kerana dapat menyanyikannya.

“Itu merupakan satu penghargaan tertinggi bagi diri saya," kata 'P.Ramlee China' itu.

Menurutnya lagi, antara lagu kegemarannya ketika mengunting rambut pelanggan adalah 'Jangan Tinggal Daku' dan 'Getaran Jiwa' kerana merupakan lagu yang sering diminta oleh pelanggan.

Sumber : Bernama/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan