Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kenaikan harga barang M'sia semakin tidak menentu

Anggaran Waktu Membaca:

SERI KEMBANGAN: "Harga barangan memang naik tetapi kena belanja juga, kalau tak beli nak makan apa?" kata ibu tiga anak, Mesna Misnawi yang merungut berikutan kenaikan harga barangan keperluan.

Cik Mesna, 36 tahun, yang menetap di Jalan Pinggiran Putra, di Seri Kembangan berkata kepada Harian Metro, beliau menyedari kenaikan harga barang sejak dua minggu lalu.

"Boleh dikatakan, saya berbelanja di sini dua ke tiga kali dalam seminggu. Jadi, memang nampak kenaikan dengan yang paling ketara adalah harga sayur.

"Cili dan tomato ok lagi, namun harga bawang memang naik, jika dulu RM10 (S$2.98) sekilogram tetapi kini RM14 (S$4.17)," katanya ketika ditemui ketika tinjauan Harian Metro di Pasar Borong Selangor pada Selasa (1 Nov). 

Seorang lagi pengguna, Agus Rahim, 32 tahun, dari Dengkil, Selangor berkata, harga barangan di pasaran tidak menentu, namun sebagai peniaga makanan beliau tiada pilihan melainkan membeli keperluan itu.

"Kadang-kadang murah, ada kalanya mahal. Kebiasaannya, saya beli udang dan sotong. Sotong dijual dengan harga RM25 (S$7.45) sekilogram, manakala udang RM30 (S$8.94) tetapi ikut saiz juga.

"Dulu, semua boleh beli, sekarang ada isu harga. Diharap kerajaan yang akan dibentuk nanti dapat bantu kawal ekonomi dan bekalkan barangan secukupnya dengan harga munasabah," katanya kepada Harian Metro. 

Sementara itu, peniaga ikan, Nurul Ain Alias, 38 tahun, mendapati kenaikan harga berlaku sejak tercetusnya pandemik Covid-19 lagi, tetapi bertambah teruk selepas tamatnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pelanggan tidak merungut, namun beliau berharap ada perubahan terutama selepas pembentukan kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Berbanding ketika PKP, harga ikan kini naik lebih tinggi. Ikan jenahak misalnya, jika dulu dijual dengan harga RM20 (S$5.96) tetapi kini RM33 (S$9.83) sekilogram.

"Ikan kembung pula dulu dijual dengan harga RM8 (S$2.38) sekilogram dan kini boleh mencecah RM14 (S$4.17) ke RM15 (S$4.47) sekilogram. Harga ikan siakap juga naik. semuanya selepas pandemik Covid-19.

"Difahamkan, ia kesan kejatuhan ringgit dan diharap ekonomi negara semakin bagi mengatasi isu kenaikan harga ini kerana bukan hanya pengguna, malah peniaga seperti saya juga terkesan," katanya yang mula berniaga sejak tiga tahun lalu.

Peniaga sayur, Hashim Mohd Atan, 60 tahun, pula berkata, kenaikan harga tidak boleh diduga kerana boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Cili api hijau dulu dijual dengan harga RM9 ke RM10 (S$2.98) sekilogram tetapi kini RM14 (S$4.17), cili api merah pula RM20 (S$5.96) sekilogram manakala cili api kampung pernah mencecah RM34 (S$10.13) sekilogram, hari ini RM18 (S$5.36) sekilogram saja.

"Tak boleh jangka apa untuk harga esoknya jadi kerajaan akan datang perlu kawal harga dan cuba bantu peniaga serta pengguna yang terkesan dengan isu kenaikan harga ini," katanya kepada Harian Metro. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan