Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kemungkinan asteroid Bennu terhempas ke Bumi amat tipis: NASA

Ditemui pada 1999, asteroid Bennu seluas 500 meter itu dikategorikan sebagai berpotensi berbahaya.

Anggaran Waktu Membaca:
Kemungkinan asteroid Bennu terhempas ke Bumi amat tipis: NASA

Gambar asteroid Bennu dipetik kapal angkasa OSIRIS-REx NASA pada 16 Nov 2018. (Gambar: NASA/Goddard/University of Arizona)

Diterbitkan : 14 Aug 2021 10:24PM Dikemas Kini : 14 Aug 2021 10:29PM

WASHINGTON: Sebuah asteroid yang diberi nama Bennu akan melintasi Bumi dalam lingkungan setengah jarak antara planet ini dengan Bulan pada tahun 2135, menurut para saintis pada Rabu (11 Ogos).

Namun kemungkinan ia menghentam Bumi pada abad akan datang adalah sangat tipis, tambah mereka.

OSIRIS-REx, sebuah kapal angkasa NASA, menghabiskan dua tahun dekat dengan Bennu, sebuah asteroid sebesar 500 meter, meneliti ukuran, bentuk dan komposisinya serta memantau lintasan orbitnya keliling matahari.

Dengan menggunakan lengan robotiknya, kapal angkasa itu juga mengumpulkan sampel dari permukaan asteroid yang akan membantu penyelidik menentukan trajektori Bennu pada masa hadapan.

Batu dan debu yang dikumpulkan OSIRIS-REx dijadual tiba di Bumi pada 24 September 2023.

Bennu ditemui pada 1999 dan diklasifikasi sebagai asteroid yang mungkin berbahaya.

Ia akan menghampiri Bumi pada September 2135.

Para saintis ingin mengetahui bagaimana graviti Bumi dan fenomena yang dikenali sebagai kesan Yarkovsky akan menjejas trajektori masa depannya dan potensi kesan pada orbit berikutnya.

"Data OSIRIS-REx memberi kami lebih banyak maklumat yang tepat, kami dapat menguji sejauh mana model kami tepat dan mengira trajektori masa depan Bennu hingga ke tahap kepastian yang sangat tinggi hingga tahun 2135," kata Dr Davide Farnocchia, seorang saintis dengan Pusat untuk Kajian Objek Dekat Bumi di Makmal Jet Propulsion NASA di California.

"Kemungkinan keseluruhan (asteroid itu) akan terhempas (ke bumi) adalah sangat kecil," tegasnya. "Kita tidak perlu terlalu khuatir tentang hal itu."

Para pengkaji merumuskan kemungkinan Bennu terhempas ke sini dari sekarang hingga tahun 2300 adalah sekitar satu dalam 1,750, atau 0.057 peratus.

Encik Lindley Johnson dari Pejabat Penyelaras Pertahanan Planet di NASA berkata asteroid yang terhempas ke Bumi akan menyebabkan kawah sekitar 10 hingga 20 kali ukuran objek berkenaan dan menyebabkan kehancuran pada kawasan sekitar 100 kali ganda ukuran kawah.

Namun, Encik Johnson menambah: "Kami benar-benar tidak rasa kita perlu melakukan apa-apa tentang Bennu." 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan