Skip to main content

Dunia

Kemunculan Khairy Jamaluddin curi perhatian Perhimpunan Pemuda UMNO 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Kemunculan Khairy Jamaluddin curi perhatian Perhimpunan Pemuda UMNO 2025
Khairy Jamaluddin (tengah) antara mantan Ketua Pemuda yang hadir untuk Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 15 Januari 2026. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Kemunculan semula mantan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Perhimpunan Agung Sayap Pemuda UMNO 2025 mencuri tumpuan media selepas episod pemecatannya daripada parti itu pada 2023.

Menurut Setiausaha Pemuda UMNO, Mohd Hafiz Ariffin, atur cara kali ini lebih istimewa dengan jemputan khas kepada para mantan Ketua Pemuda UMNO, termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang pernah memegang jawatan tersebut pada 1984.

Beliau memberitahu Astro AWANI, Pemuda UMNO tahun ini meraikan mantan ketua mereka atas sumbangan yang diberikan kepada gerakan sayap itu sepanjang tempoh mereka memegang jawatan, selain memperjuangkan agenda mengukuhkan perpaduan dalam kalangan Melayu dan Bumiputera.

Turut kelihatan hadir ialah Encik Nazri Aziz dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang disambut oleh Ketua Pemuda kini, Dr Muhamad Akmal Salleh bersama timbalannya, Hairi Mad Shah.

Khairy Jamaluddin sebelum ini memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO dari 2009 hingga 2018 sebelum dipecat pada 2023 kerana melanggar disiplin parti atas kritikan terbukanya terhadap kepimpinan Encik Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.

Mantan Menteri Kabinet itu juga tercatat dalam sejarah kerana pernah mencabar jawatan Presiden UMNO yang disandang Encik Ahmad Zahid dalam pemilihan parti, namun hasratnya tidak kesampaian apabila perwakilan meluluskan usul tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan tersebut.

Biarpun Khairy Jamaluddin sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan Encik Ahmad Zahid melalui podcast Keluar Sekejap, ketegangan antara kedua-dua tokoh politik itu dilihat semakin kendur sejak kebelakangan ini, malah beberapa gambar yang tular menunjukkan kemesraan mereka kembali terjalin.

Dalam taklimat tertutup kepada perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pada Rabu (14 Jan), Encik Ahmad Zahid turut membuka ruang untuk menerima semula para mantan pemimpin UMNO yang pernah meninggalkan parti atas semangat perpaduan Melayu, Bumiputera dan Islam.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita