Skip to main content

Dunia

Kempen vaksinasi polio capai lebih 82% kanak-kanak di Carikan Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Kempen vaksinasi polio capai lebih 82% kanak-kanak di Carikan Gaza

(Gambar: Omar AL-QATTAA / AFP)

Diterbitkan : 11 Sep 2024 11:39PM
BANDAR GAZA: Kempen vaksinasi polio yang sedang dijalankan mencapai 82.5 peratus kanak-kanak disasarkan di Carikan Gaza, yang dilanda perang, menurut Kementerian Kesihatan tempatan pada Rabu (22 Sep).

Kementerian itu dalam kenyataan berkata 527,776 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun menerima dos pertama vaksin polio di kawasan Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian itu berkata pasukan perubatan meneruskan usaha mereka "untuk menjalankan kempen vaksinasi polio walaupun pencerobohan Israel berterusan."

"Walaupun menghadapi bahaya besar yang dihadapi pasukan perubatan, keluarga terus datang ke pusat vaksinasi untuk membolehkan anak mereka mendapat vaksin polio," menurut kementerian itu.

Fasa ketiga dan terakhir kempen tersebut bermula di utara Gaza pada Selasa (10 Sep) untuk memberi vaksin polio kepada kira-kira 14,000 kanak-kanak. Fasa pertama dan kedua kempen meliputi bahagian tengah dan selatan Gaza.

Bulan lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh hari bagi membolehkan 640,000 kanak-kanak di Gaza menerima suntikan vaksin.

Israel terus melancarkan serangan di Carikan Gaza sejak 7 Oktober walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata segera dilaksanakan.

Lebih 41,000 orang, kebanyakan wanita dan kanak-kanak terbunuh dan hampir 95,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Sekatan berterusan ke atas wilayah itu menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, selain menyaksikan sebahagian besar wilayah itu musnah.

Israel berdepan tuduhan genosid atas tindakannya di Gaza di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita