Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kempen solidariti DAP bantu bayar ikat jamin Lim Guan Eng kutip hampir RM4 juta

DAP mengumumkan berjaya mengumpulkan hampir RM4 juta (S$1.3 juta) dalam kempen kutipan dana "Solidariti Bersama Lim Guan Eng" yang berlangsung selama seminggu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kempen solidariti DAP bantu bayar ikat jamin Lim Guan Eng kutip hampir RM4 juta

Bekas Menteri Kewangan Malaysia, Encik Lim Guan Eng. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 15 Aug 2020 03:51PM Dikemas Kini : 15 Aug 2020 03:55PM

KUALA LUMPUR: DAP mengumumkan berjaya mengumpulkan hampir RM4 juta (S$1.3 juta) dalam kempen kutipan dana "Solidariti Bersama Lim Guan Eng" yang berlangsung selama seminggu.

Sebanyak RM3.947 juta (S$1.29 juta) berjaya dikumpulkan sejak kempen itu dilancarkan sehingga tengah malam, semalam (14 Ogos), menurut laporan Malaysiakini.

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua mengatakan bahawa kempen itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi menanggung kos bayaran ikat jamin Lim sebanyak RM1.1 juta (S$359,000) tetapi para penyumbang terus memberikan sumbangan walaupun ada pengumuman bahawa sasaran tersebut telah dicapai.

Malaysiakini memetik parti itu sebagai mengatakan lebihan dana itu akan digunakan untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Walaupun selepas mengumumkan yang kami telah berjaya mengumpul RM2.9 juta (S$948,000) setakat pada hari Selasa dan jumlah bayaran ikat jamin ditetapkan pada jumlah RM1.1 juta (S$359,000), rakyat Malaysia terus menyumbangkan kepada kempen ini.

"Jelas sekali yang rakyat Malaysia menyokong bukan sahaja perjuangan untuk melawan dakwaan yang dibuat-buat terhadap Lim Guan Eng, tetapi juga perbuatan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin," katanya dalam kenyataan media hari ini (15 Ogos).

Lim, yang merupakan setiausaha agung DAP, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan meminta rasuah dan menerima sogokoan berhubung dengan projek berkaitan negeri ketika dia menjadi ketua menteri Pulau Pinang dari tahun 2008 hingga 2018, termasuk berkaitan cadangan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

"Lim Guan Eng telah menyatakan yang beliau tidak bersalah memandangkan kontrak pembinaan terowong itu telah dianugerahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang melalui satu operasi tender terbuka antarabangsa dan kemudiannya dicadangkan oleh penjawat awam kanan daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

"Tambahan lagi, tidak ada satu sen pun wang yang telah dibayar untuk projek terowong ini memandangkan ianya dijadualkan untuk bermula hanya selepas tahun 2023, selepas semua syarat-syarat berkenaan telah diluluskan," kata Pua.

Dalam pada itu, Malaysiakini melaporkan Pua sebagai berkata, DAP berterima kasih atas sumbangan besar dari "ratusan ribu" penyokong.

"Sambutan yang luar biasa ini telah menyalakan semula api perjuangan untuk terus berjuang demi sebuah Malaysia yang lebih baik, dengan menyedari yang sekatan politik yang berlaku sekarang ini hanyalah sesuatu yang sementara dan kami akan kembali lebih kuat dan lebih baik dengan sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia," katanya.

Kempen kutipan derma "RM10 (S$3.26) seorang" itu dilancarkan pada 8 Ogos dan berakhir pada tengah malam semalam.

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan