Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kempen #savethehawker bantu penjaja terjejas COVID-19 di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Kempen #savethehawker bantu penjaja terjejas COVID-19 di M'sia

(Gambar: Tangkapan skrin video SAVE THE HAWKER with Aset Kayamas/Masya Masyitah/YouTube)

KUALA LUMPUR: Teruskan hidup tanpa pernah menyerah. Itu kata-kata semangat yang boleh membuat kita bangkit meskipun sudah dilanda ‘badai’ penularan pandemik COVID-19.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Malaysia, Noh Omar berkata, sebanyak 37,415 perniagaan terpaksa ‘gulung tikar’ berikutan terkesan pandemik COVID-19, seperti laporan Astro AWANI. 

Sebanyak 26,007 daripada jumlah tersebut merupakan usahawan mikro, diikuti 2,738 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut Noh, angka perniagaan gulung tikar itu adalah berdasarkan kepada kajian kesan kawalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ke atas landskap usahawan di Malaysia pada 15 hingga 28 Jun lalu.

Prihatan terhadap perkara tersebut, Aset Kayamas Sdn. Bhd. (Aset Kayamas) dan Melody FM menggerakkan kempen #savethehawker bagi membantu penjaja-penjaja yang terjejas sebagai usaha membantu mereka untuk bangun meneruskan perniagaan, menurut Astro AWANI. 

Pengerusi Aset Kayamas, Chai Kin Kong berkata, kempen #savethehawker ini membantu 40 penjaja yang memerlukan dengan memberi wang tunai sebanyak RM3,000 (S$965) seorang.

“Keseluruhan RM120,000 (S$38,620) diberikan kepada 40 penjaja yang dipilih daripada cadangan-cadangan orang ramai yang sayang dan inginkan penjaja ini terus menjual makanan kegemaran mereka.

“Kempen ini bersempena dengan ulangtahun ke-10 Aset Kayamas. Kami memilih untuk menyambut ulangtahun ini dengan cara yang sedikit berbeza, iaitu dengan membantu para penjaja yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Tambah Encik Kin Kong, dia mengharapkan bantuan yang diberikan dapat membantu penjaja-penjaja yang menjual 'makanan asli Malaysia' ini untuk meneruskan perniagaan masing-masing.

Dalam pada itu, penyanyi, Masya Masyitah yang turut terlibat dalam kempen itu berkata, pihaknya memahami kesukaran yang terpaksa ditanggung oleh penjaja-penjaja tersebut dan berharap ‘kejutan’ tersebut dapat meringankan beban mereka.

“Seperti mana kita tahu, pada tahun lalu, terlalu banyak cabaran yang terpaksa kita hadapi terutamanya kepada para penjaja kecil. Justeru itu, kami ingin memberi hadiah dan membuat kejutan kepada mereka.

“Apa-apa pun kita tidak boleh menyerah dan perlu menyokong perniagaan penjaja lokal ini untuk terus lakukan yang terbaik!,” ujarnya.

Dalam pada itu, penjaja yang dikenali sebagai Madam Wong berkata, dia terpaksa berhenti berniaga selama tiga bulan dan hanya duduk di rumah ketika pelaksanaan PKP 1.0.

Dia yang menjual karipap kaya, kek gulung dan tart telur sejak lebih 40 tahun itu hanya bergantung dengan wang simpanan yang ada sahaja bagi tempoh tersebut.

“Selalunya untuk berniaga, saya akan bangun seawal 1.00 pagi dan menyiapkan makanan jualan bersama-sama anak.

“Pada pelaksanaan PKP 2.0, saya tidak berniaga selama 10 hari. Kita terpaksa tutup dah hanya duduk di rumah kerana tidak dibenarkan untuk keluar ke mana-mana,” jelasnya, seperti dinukil Astro AWANI. 

Bagaimanapun, beliau kini bangkit untuk meneruskan perniagaan yang terletak di Jalan Yap Ah Loy di Kuala Lumpur. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan