Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kempen PRU15 M'sia semakin panas, caci-mencaci, rosakkan bahan kempen, antara pelanggaran disiasat polis

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Caci-mencaci, ugutan dan tindakan merosakkan bahan-bahan kempen adalah antara kes yang sedang disiasat polis Malaysia sedang calon dan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meningkatkan kempen mereka.

Di Johor, seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa ahli jawatankuasa divisyen parti politik menggelarnya "biawak". Suspek didakwa mengugut untuk membelasah lelaki itu jika mereka bertembung lagi.

Pengarah Bahagian Operasi Pilihan Raya Umum di ibu pejabat polis di Bukit Aman, Pesuruhjaya Hazani Ghazali memberi contoh kejadian itu sebagai salah satu kes pelanggaran kempen membabitkan calon dan parti yang menyertai PRU15.

The Star memetik Encik Hazani sebagai berkata bahawa kes itu diklasifikasikan di bawah ugutan jenayah, meskipun suspek terbabit tampil menafikan dakwaan terhadapnya.

Sementara itu, di Pulau Pinang, polis membuka siasatan selepas seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang samseng membuat kecoh di bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Bukit Bendera.

"Laporan polis mendakwa suspek berkata semua bendera kempen mesti diletakkan melaluinya dan dia mesti menerima bayaran," kata Encik Hazani.

Suspek juga mengugut akan membuat kacau di kawasan itu jika kakitangan kempen tidak membayarnya, kata Encik Hazani, sambil menambah bahawa kes itu disiasat sebagai kes peras ugut.

The Star memetik beliau sebagai berkata, sekurang-kurangnya 10 kes merosakkan harta benda awam membabitkan bahan kempen seperti poster, kain rentang dan bendera yang koyak dan rosak dilaporkan berlaku di pelbagai negeri serta di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

Beliau juga berkata polis telah membuka 22 kertas siasatan dan menahan empat suspek kerana mengadakan ceramah tanpa permit yang sah.

"Kami menahan seorang suspek di Pulau Pinang dan Kelantan manakala dua lagi ditahan di Johor," katanya sambil menambah sebanyak 177 ceramah diadakan tanpa permit pada Selasa.

Beliau berkata Negeri Sembilan merupakan negeri yang paling banyak mengadakan rapat tanpa permit, dengan 39 perhimpunan dicatatkan.

Negeri-negeri lain seperti Perak dan Selangor juga melaporkan bilangan kes yang tinggi di mana perhimpunan dijalankan tanpa permit.

Secara keseluruhan, terdapat lebih 3,400 rapat kempen yang diadakan dengan permit yang sah.  Sabah mempunyai rapat tertinggi dengan lebih 600 perhimpunan dengan permit diadakan.

Johor dan Perak juga mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu lebih 400 perhimpunan yang diadakan dengan permit.

Pada 20 Okt, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua calon dan penyokong parti politik supaya mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen.

Al-Sultan Abdullah juga  menasihatkan calon supaya mengelakkan provokasi dan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis.

Lebih 21 juta pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab mereka pada Hari Mengundi 19 Nov, manakala pengundian awal ditetapkan pada 15 Nov.
Sumber : AGENCIES/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan