Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kempen PRU15 M'sia bermula, 945 calon sah bertanding, kerusi Batu di KL saksikan pertembungan 10 penjuru

Anggaran Waktu Membaca:
Kempen PRU15 M'sia bermula, 945 calon sah bertanding, kerusi Batu di KL saksikan pertembungan 10 penjuru

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo, Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 05 Nov 2022 07:42PM Dikemas Kini : 05 Nov 2022 09:32PM
PUTRAJAYA: Sebanyak 945 calon diterima bertanding di 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Malaysia, menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jumlah itu dilaporkan di laman web SPR setakat 5.45 petang Sabtu (5 Nov).

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata semasa sidang media selepas penamaan calon ditutup bahawa semua kerusi di parlimen dan tiga DUN Pahang, Perak dan Perlis akan dipertandingkan.

Menurut laman web SPR, Pakatan Harapan (PH) akan meletakkan 206 calon, Barisan Nasional (BN) 178 calon, Perikatan Nasional (PN) 149 calon dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) 116 calon.

Bagi parti yang berpangkalan di Malaysia Timur, Parti Warisan Sabah (Warisan) akan meletakkan 52 calon dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula bertanding di 31 kerusi.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merupakan sebahagian daripada PN akan bertanding di 22 kerusi dengan menggunakan logo sendiri.

Terdapat 108 calon bebas bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Encik Abdul Ghani berkata kerusi Batu di Kuala Lumpur mempunyai bilangan calon paling ramai, dengan 10 orang bertanding untuk kerusi itu.

Beliau juga berkata empat kertas pencalonan bagi kerusi parlimen itu ditolak. Encik Abdul Ghani bagaimanapun tidak memberikan butiran lain. Katanya, maklumat lanjut akan diberikan kemudian.

Lebih 21 juta pengundi yang layak akan memilih 222 ahli baru Dewan Rakyat pada 19 Nov.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 15 Nov.

Pada 10 Okt, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa parlimen telah dibubarkan, membuka laluan kepada pilihan raya.

Perak, Pahang, dan Perlis juga membubarkan dewan masing-masing supaya pilihan raya negeri dapat diadakan serentak dengan pilihan raya persekutuan.

Enam negeri lain - tiga di bawah PH dan PAS - memutuskan untuk tidak membubarkan dewan buat masa ini.

Tiga negeri di bawah PH ialah Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala negeri di bawah pemerintahan PAS ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka telah mengadakan pengundian baru-baru ini.

PENYOKONG KECOH, GAS PEMEDIH MATA DILEPASKAN DI PUSAT PENCALONAN SABAH

Pasukan Simpanan Persekutuan melepaskan gas pemedih mata apabila proses penamaan calon di Dewan DSP Antanom menjadi kecoh disebabkan sepasukan penyokong yang dipercayai menimbulkan provokasi.

Pesuruhjaya Hazani Ghazali dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam polis berkata gas pemedih mata dilepaskan untuk menyuraikan orang ramai.

Beliau memberitahu The Star bahawa keadaan telah dapat dikawal dan tiada laporan kecederaan diterima setakat ini.

Kekecohan itu berlaku difahamkan susulan penolakan pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Peter Anthony yang ingin bertanding bagi kerusi Parlimen Tenom.

SPR telah menolak kertas pencalonannya berdasarkan sabitan pemalsuan dan hukuman keatasnya pada Mei lalu.

Pemimpin KDM itu ialah bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah dan bekas naib presiden Parti Warisan.

Dia meninggalkan Warisan pada Dis 2021, dengan mengatakan akan memulakan parti baru yang akan bekerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah.
Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan