Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kempen Pilihan Raya Presiden bermula di Filipina di tengah pandemik

Kempen Pilihan Raya Presiden di Filipina secara rasmi bermula pada Selasa (8 Feb), tiga bulan sebelum pengundian dijadualkan berlangsung pada 9 Mei bagi memilih pemimpin baru yang akan menerajui negara Asia Tenggara itu untuk tempoh enam tahun akan datang, lapor agensi berita Xinhua.

Anggaran Waktu Membaca:

MANILA: Kempen Pilihan Raya Presiden di Filipina secara rasmi bermula pada Selasa (8 Feb), tiga bulan sebelum pengundian dijadualkan berlangsung pada 9 Mei bagi memilih pemimpin baru yang akan menerajui negara Asia Tenggara itu untuk tempoh enam tahun akan datang, lapor agensi berita Xinhua.

Sekurang-kurangnya 67.5 juta rakyatnya sudah mendaftar untuk mengundi, termasuk 1.8 juta pengundi dari luar negara.

Mereka juga akan memilih naib presiden, kira-kira 300 ahli perwakilan dan lebih 18,000 wakil pemerintah tempatan.

Seramai 10 calon presiden dan sembilan calon naib presiden sudah dicalonkan.

Berdasarkan tinjauan, Ferdinand Marcos Jr., 64 tahun, anak lelaki kepada bekas Presiden Ferdinand Marcos, dilihat mendahului dalam persaingan presiden.

Ia disusuli oleh Naib Presiden Maria Leonor Robredo berusia 56 tahun, Datuk Bandar Manila Francisco Domagoso, Senator Manny Pacquiao, Senator Panfilo Lacson dan lima yang lain.

Di Filipina, presiden dan naib presiden dipilih secara berasingan.

Datuk Bandar Davao City Sara Duterte-Carpio, 43 tahun, anak perempuan kepada Presiden Rodrigo Duterte, akan bertanding bagi jawatan naib presiden.

Sementara itu, Duterte dengan tempoh perkhidmatannya yang akan tamat pada Jun ini, masih belum menyatakan sokongan kepada mana-mana calon presiden.

Seperti dalam pilihan raya lalu, beberapa calon sudah mula berkempen di televisyen, media sosial dan radio, meskipun sebelum kempen bermula.

Seawal Oktober, calon presiden mula merentasi kepulauan untuk menyampaikan hadiah dan wang tunai, melancarkan promosi di TV dan program pengiklanan di media sosial.

Nama dan gambar calon terpampang di papan iklan gergasi sepanjang lebuh raya utama.

Tidak seperti dahulu, calon-calon tidak lagi dibenarkan berkempen di bandar dan pekan, mendendangkan lagu cinta, memeluk bayi dan menari di atas pentas untuk meraih undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengenakan sekatan bagi membendung penularan COVID-19, dengan menghalang ahli politik berkempen dari rumah ke rumah, berkumpul, berjabat tangan, berpelukan atau sebarang aktiviti yang melibatkan sentuhan fizikal.

Mengambil swafoto dan bergambar, aktiviti yang memerlukan pelibatan orang ramai, serta pengedaran makanan dan minuman turut dilarang.

Dengan ancaman COVID-19, para calon dijangka lebih menonjol dalam platform digital dan sanggup mengupah penasihat media sosial untuk memancing undi belia dan bilangan golongan itu lebih separuh daripada jumlah pengundi berdaftar.

Sementara itu, kemuncak retorik kempen dan penyebaran skandal juga dijangka akan meningkat dalam masa beberapa hari akan datang selepas kempen pilihan raya dimulakan secara rasmi.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan