Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kempen baru Rusia cuba 'pancing' kaum lelaki berperang di Ukraine

Anggaran Waktu Membaca:
TALLIN, Estonia: Satu kempen baru sedang dijalankan di seluruh Rusia untuk merekrut tentera baru bagi perang di Ukraine.

Ini termasuk iklan yang menjanjikan bonus wang dan faedah yang menarik, syarikat merekrut pekerja membuat panggilan kepada individu lelaki yang layak serta pejabat pendaftaran bekerjasama dengan universiti dan agensi perkhidmatan sosial untuk menarik pelajar dan penganggur.

Satu kempen pengerahan pada September melibatkan 300,000 anggota simpanan - yang digelar sebagai panggilan "separa" - mencetuskan keadaan cemas di seluruh negara, kerana kebanyakan lelaki di bawah usia 65 tahun secara rasmi adalah sebahagian daripada anggota simpanan. Puluhan ribu orang melarikan diri dari Rusia dan tidak melaporkan diri kepada pusat-pusat rekrut.

Kremlin bagaimanapun menafikan bahawa satu lagi panggilan pengerahan dirancang bagi apa yang dipanggil "operasi khas ketenteraan" di Ukraine, yang kini berusia lebih setahun.

Media Rusia melaporkan bahawa orang lelaki di seluruh negara menerima surat kerahan daripada pejabat pendaftaran. Dalam kebanyakan kes tersebut, kaum lelaki hanya diminta untuk mengemas kini rekod mereka; buat yang lain, mereka diperintahkan supaya mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata minggu lalu bahawa memberi respons untuk mengemas kini rekod di pejabat pendaftaran adalah "amalan biasa" dan sesuatu "usaha berterusan".

Iklan-iklan sudah muncul di laman pemerintah dan di akaun media sosial institusi dan pertubuhan negeri, termasuk perpustakaan dan sekolah menengah.

Salah satu daripadanya, yang disiarkan oleh pentadbiran perbandaran di wilayah Yaroslavl barat, menjanjikan bonus sekali sahaja kira-kira AS$3,800 (S$5,065) jika mendaftarkan diri, dan jika dihantar ke Ukraine, gaji bulanan sehingga AS$2,500 (S$3,332), ditambah kira-kira AS$100 (S$133) sehari bagi "pelibatan dalam operasi serangan aktif", dan AS$650 (S$866) "untuk setiap kilometer kemajuan dalam pasukan penyerang".
Sumber : AP/HY/hy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan