Kemiskinan, ketakutan dan letupan: Kehidupan di Myanmar setahun selepas rampasan kuasa
Sudah genap setahun sejak junta tentera mengambil alih kuasa di Myanmar, selepas menggulingkan pemerintah pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokratik.
SINGAPURA: Sudah genap setahun sejak junta tentera mengambil alih kuasa di Myanmar, selepas menggulingkan pemerintah pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokratik.
Sejak itu, pembunuhan orang awam, penyiksaan beramai-ramai dan pencabulan hak asasi manusia kini menjadi semakin lumrah di negara itu.
12 bulan selepas kudeta tentera, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengunjurkan kira-kira separuh daripada 55 juta penduduk Myanmar akan berada di bawah garis kemiskinan tahun ini.
Pada 2017, kadar kemiskinan di Myanmar ialah kira-kira 25 peratus.
Myanmar juga menyaksikan tiga gelombang pandemik COVID-19 sejak kes pertamanya dilaporkan pada 23 Mac 2020, ketika ia masih di bawah pemerintahan bekas Aung San Suu Kyi.
Gelombang terbaru berlaku selepas tentera melancarkan rampasan kuasa pada 1 Feb 2021.
Pada ketika itu, ramai sudah kehilangan pekerjaan: Kilang-kilang terpaksa ditutup di tengah-tengah tunjuk perasaan yang meluas pada bulan-bulan awal rampasan kuasa. Ramai yang datang ke Yangon untuk mencari rezeki memutuskan untuk pulang semula ke kampung atau bertukar kerja.
Dengan kemahiran yang terhad dan pasaran pekerjaan yang ketat, mencari pekerjaan baru bukanlah mudah.
RENTETAN PERISTIWA
Pada pagi Isnin, 1 Februari 2021, di bawah arahan Jeneral Min Aung Hlaing, pihak tentera menahan Cik Aung San Suu Kyi serta pemimpin awam yang lain. Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dituduh melakukan penipuan semasa Pilihan Raya November 2020.
Perintah berkurung berkuat kuasa, setelah tercetus bantahan besar-besaran. Junta tentera Myanmar berjanji akan mengadakan pilihan raya baru, awalnya pada 2022, namun kini kemungkinan pada 2023.
Sejak Disember, Cik Suu Kyi telah beberapa kali dihadapkan ke mahkamah, dan kini menjalani hukuman penjara enam tahun. Tempoh itu bakal dilanjutkan, memandangkan banyak lagi tuduhan yang dikenakan.
Gesaan dunia antarabangsa serta pertubuhan serantau ASEAN agar keadaan segera pulih kembali, tidak memberi kesan.
Myanmar kini terus bergolak, dengan pertempuran senjata semakin kerap berlaku.
Ekonomi negara itu juga semakin hampir lumpuh.
Menurut catatan PBB, 1,500 orang awam telah terbunuh setakat ini, 8,000 lagi ditahan pihak tentera. 300,000 penduduk terpaksa berpindah sedang konflik terus meruncing.
Hari ini, Cik Aung Sang Suu Kyi dan mantan Presiden Win Myint secara rasmi dikenakan tuduhan melakukan penipuan semasa Pilihan Raya November 2020.
Perbicaraan bermula pada 14 Februari.
NORMA BARU PENDUDUK MYANMAR
Ramai penduduk Myanmar kini hidup dalam ketakutan, sedang junta tentera menyusup ke dalam kampung mencari puak-puak penentang.
Jika terjumpa penyokong parti NLD termasuk keseluruhan kampung dimusnahkan.
Namun pihak tentera menafikan tindakan sedemikian. Mereka sebaliknya menuduh pihak pemberontak sebagai dalangnya.
Hampir setengah juta foto dan video telah dikumpulkan tentang pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar.
Ia diharap dapat dijadikan bukti untuk menyeret pihak-pihak yang bertanggungjawab ke Mahkamah Antarabangsa satu hari nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.