Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kementerian Pengangkutan M'sia arahkan syarikat penerbangan selesaikan isu kelengahan, jadual semula

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Berikutan keluhan dan rungutan daripada penumpang syarikat penerbangan atas kelewatan serta penjadualan semula penerbangan selain isu teknikal, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengarahkan syarikat terlibat supaya menyelesaikan isu yang dialami penumpang dengan segera.

Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong, berkata kementerian serta agensinya berkaitan penerbangan - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) - menerima dan menyiasat laporan daripada maklum balas penumpang mengenai pengalaman mereka.

Dr Wee dalam satu kenyataan semalam (10 Mei) berkata kerajaan bersimpati dengan masalah yang dihadapi penumpang. Beliau berkata kebanyakan aduan mungkin disebabkan aliran penumpang yang lebih tinggi daripada biasa semasa musim perayaan, dengan syarikat penerbangan terpaksa menggunakan sepenuhnya kumpulan pesawat mereka untuk memenuhi permintaan.

Beliau berkata pesawat yang menghadapi isu teknikal dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk penyenggaraan yang menyeluruh.

Setakat Selasa (10 Mei), semua aduan berkaitan tunggakan serta penjadualan semula penerbangan sudah diatasi dan berjalan seperti biasa, kata Dr Wee.

“Untuk kepentingan keselamatan dan pematuhan teknikal terhadap peraturan penerbangan awam, kementerian mengarahkan syarikat penerbangan untuk memantau isu teknikal berkaitan perkhidmatan penerbangan dengan lebih rapi dan menjelaskan isu ini dengan lebih baik kepada penumpang untuk mengurangkan kesulitan dihadapi mereka,” ujarnya.

Menurut Dr Wee, pihak berkuasa sudah menegur pihak terlibat untuk memastikan tahap pematuhan yang tinggi terhadap peraturan teknikal, ekonomi dan keselamatan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengendali yang gagal mematuhinya.

Dr Wee menambah pihak kementerian dan agensinya akan terus memantau penyedia perkhidmatan penerbangan untuk memastikan pematuhan tanpa kompromi terhadap penyenggaraan termasuk aspek teknikal.

"Penting juga bagi syarikat penerbangan untuk meningkatkan saluran komunikasi kepada penumpang dan pelanggan untuk memastikan mereka mendapat maklumat sewajarnya berkenaan status penerbangan,” tegasnya.

Beberapa hari lalu, penumpang syarikat penerbangan tempatan menyalurkan keluhan mereka menerusi media sosial mengenai kelewatan dan penjadualan semula penerbangan selain daripada isu teknikal seperti penyaman udara yang tidak berfungsi.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan