Kementerian Pengangkutan Malaysia sedia bincang khidmat kereta sewa privet rentas sempadan dengan SG
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) secara dasar bersedia untuk berbincang dengan pemerintah Singapura mengenai pelaksanaan perjalanan kenderaan sewa privet rentas sempadan (cross-border e-hailing) antara Johor dan republik itu, kata Menteri Anthony Loke.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke semasa sesi penggulungan RMK-13 pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Parlimen pada 18 Ogos 2025. (Gambar: Bernama)
Beliau berkata perkara itu pernah dibangkitkan kepada mantan Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat namun republik itu belum bersedia untuk membincangkan cadangan tersebut pada ketika itu.
"Perkara ini tidak boleh dilaksanakan sebelah pihak sahaja, ia mesti ada persetujuan kedua-dua belah pihak barulah perkara itu boleh dilaksanakan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin (18 Ogos).
Menyentuh mengenai Op Khas e-Hailing Kenderaan Asing pada 13 Ogos lalu, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menahan dan menyita empat kenderaan yang dipandu warga Singapura serta masih dalam siasatan JPJ.
"Mengapa ada op khas ini, sebab di peringkat Singapura mereka juga menguatkuasakan (undang-undang) kenderaan persendirian dari Malaysia khususnya Johor Bahru yang masuk ke Singapura ditahan dan dikatakan bahawa mereka mengamalkan satu perkhidmatan secara tidak sah ataupun perkhidmatan e-hailing dan sebagainya.
"Jadi, kita pun mengambil pendekatan yang sama menguatkuasakan undang-undang kita sebagai pendekatan timbal balik (reciprocal approach) terhadap apa yang dilaksanakan di peringkat Singapura tetapi kita harap ada satu solusi ataupun penyelesaian jangka panjang lebih baik supaya ketersambungan rentas sempadan ini dapat ditambah baik," katanya lagi.
Bagi menangani isu kesesakan lalu lintas rentas sempadan antara Johor dan Singapura, Encik Loke berkata Kerajaan Persekutuan antaranya sedang menaik taraf rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan Stesen RTS Bukit Chagar supaya aliran trafik lebih efisien.
Pada masa yang sama, beliau berkata MOT bersama kerajaan Johor telah mengumumkan inisiatif peluasan Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) sebagai penyelesaian jangka sederhana.
"Kerajaan Johor juga telah mengenal pasti 13 laluan bas dari JB Sentral ke tempat-tempat strategik untuk kemudahan penumpang. Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan rangkaian bas perantara yang lebih cekap dan menghubung kawasan perumahan dan komersial ke Stesen RTS Bukit Chagar," katanya lagi.
Selain itu, beliau berkata MOT menerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan Komuter Selatan yang bertujuan bagi melengkapkan perkhidmatan rel di selatan Semenanjung Malaysia.
Katanya lagi, perkhidmatan itu akan menyediakan akses mobiliti yang lebih cepat, selesa dan kos efektif untuk perjalanan harian rakyat, selain dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi wilayah melalui peningkatan keterhubungan dalam wilayah serta mengurangkan kesesakan jalan raya dengan menawarkan alternatif yang lebih mampan berbanding penggunaan kenderaan persendirian.
Berhubung saranan membina LRT atau MRT ke Langkawi, Encik Loke berkata perkara itu tidak dipertimbangkan oleh MOT memandangkan ia boleh memakan kos yang sangat tinggi.
MOT, menurut Encik Loke, mempunyai pelbagai cadangan lain untuk menambah baik ketersambungan pengangkutan awam antara Kuala Kedah serta Kuala Perlis ke Langkawi, termasuk meneroka penggunaan bot atau feri yang lebih moden dan sesuai.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini (19 Ogos).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.