Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kementerian Pendidikan M'sia disaran perluas pendidikan digital bagi atasi isu beg sekolah berat

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Penggunaan buku elektronik atau pendidikan digital di sekolah rendah perlu diperluaskan, bukan saja sebagai usaha mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4 (IR4) tetapi juga mengatasi masalah beg berat yang dipikul murid, seperti dinukil BH Online.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata penggunaan peranti digital atau internet pada era kini amat dekat dengan murid, lebih-lebih lagi dengan pendedahan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak Malaysia dilanda pandemik COVID-19.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah seiring peredaran masa dan situasi untuk melengkapkan sesi Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) dengan memanfaatkan pendidikan digital.

"Teknologi pendidikan terbabit meliputi penggunaan bahan pengajaran digital seperti papan bijak interaktif, paparan hablur cecair (LCD) dan buku elektronik.

"KPM perlu memperuntukkan kos tinggi bagi meningkatkan keupayaan akses pendidikan digital dan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar," kata beliau.

Pada Selasa (22 Feb), Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata KPM sedang menangani isu beg sekolah berat yang dianggap belum ada penyelesaian, lapor BH Online.

Beliau berkata, antara aspek diberi perhatian adalah jumlah mata pelajaran yang diajar setiap hari, selain buku latihan dari luar yang dibawa ke sekolah.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, buku teks sedia ada sepatutnya sudah boleh digantikan dengan penggunaan buku elektronik.

Beliau berkata, buku teks yang terlalu tebal kini tidak lagi relevan, malah hasil kajian mendapati ia tidak akan habis diajar oleh guru pada setiap tahun.

"Faktor utamanya ialah guru juga terpaksa berdepan buku latihan tambahan dan pada masa yang sama, perlu merujuk buku teks tebal untuk menjayakan sesi pembelajaran," katanya.

Walaupun mengaku penggunaan buku elektronik memerlukan bajet besar, Mohd Azizee berkata, kerajaan perlu terus mempertingkatkan capaian internet dan menyediakan alat peranti mencukupi, terutama bagi membantu pendidikan anak-anak di luar bandar serta pedalaman.

Beliau berkata, dalam mendepani cabaran IR 4.0, data raya dan era VUCA - 'volatility' (kemeruapan), 'uncertainty' (ketidakpastian), 'complexity' (kerumitan) dan 'ambiguity' (kekaburan) - sistem pendidikan kita tidak boleh ketinggalan.

"Ini termasuk mempersiapkan warga guru berkemahiran tinggi, terutama untuk menguasai bidang teknologi pendidikan dan memperkayakan mereka dengan kompetensi e-pembelajaran serta PAK21.

"Ilmu pendidikan digital perlu dipertingkatkan seiring dengan perkembangan dunia yang bergerak pantas," kata beliau.

Selain itu, beliau berkata, sudah tiba masanya KPM turut menyemak semula kurikulum Tahap Satu dengan melihat mata pelajaran yang diajar sepanjang sesi persekolahan.

Katanya lagi, sukatan pelajaran atau mata pelajaran yang diajar perlu fokus kepada penguasaan 3M, iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira, selain pembentukan karakter melalui pembinaan adab, nilai serta jati diri dan aktiviti tumbesaran fizikal seperti kecergasan jasmani, seperti dinukil BH Online.

"Konsep pembelajaran berorientasikan aktiviti dan permainan perlu ditekankan kerana ia sesuai dengan tumbesaran anak-anak kecil ini," katanya.

Ketika ini, Mohd Azizee berkata, murid berdepan kurikulum dengan banyak mata pelajaran setiap hari, di samping sebahagian mereka perlu mengikuti kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebelum atau selepas sesi persekolahan sekolah kebangsaan.

"Sudah jelas situasi berkenaan membebankan sebahagian murid untuk melalui situasi membawa beg sekolah yang berat sepanjang hari.

"Di sini, perlu juga ada keselarasan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah aliran perdana dengan orientasi kelas KAFA anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," kata beliau.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan