Skip to main content

Dunia

Kementerian Luar M'sia panggil Duta Besar Sweden berikutan insiden bakar al-Quran

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Luar M'sia panggil Duta Besar Sweden berikutan insiden bakar al-Quran

(Gambar: Facebook/Wisma Putra)

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Malaysia pada Isnin (24 Jun) memanggil Duta Besar Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom untuk menzahirkan kecaman keras kerajaan Malaysia terhadap tindakan menghina kitab suci al-Quran di Stockholm, Sweden pada 20 Julai lalu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan dalam pertemuan itu, pihaknya menegaskan kepada Duta Besar Sweden bahawa kebebasan bersuara perlu diamalkan dengan penuh tanggungjawab serta mengambil kira sensitiviti agama pelbagai komuniti global.

“Kementerian ini menegaskan kembali bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap Kerajaan Sweden yang telah memberikan kelulusan dan membenarkan tindakan menghina Al-Quran dilakukan berulang kali di Sweden dengan alasan kebebasan bersuara. 

"Walaupun cubaan membakar Al-Quran itu gagal, tindakan provokatif memijak kitab suci ini tetap mengakibatkan kegusaran dan menyinggung jutaan umat Islam seluruh dunia," menurut kenyataan itu.

Dalam hal tersebut, Wisma Putra menggesa kerajaan Sweden untuk menilai semula pelaksanaan konsep kebebasan bersuara dan mengambil langkah segera dan tindakan yang perlu untuk menamatkan "Islamofobia berstruktur".

“Perbuatan tidak menghormati mana-mana agama berpotensi mencetuskan kebencian dan akan menjejaskan keharmonian serta budaya hidup bersama secara aman di kalangan masyarakat yang berbilang agama,” menurut kenyataan itu.

Ini merupakan kali ketiga tindakan keji itu dilakukan di Sweden tahun ini, selepas insiden pertama dan kedua pada Januari dan Jun 2023.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita