Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kementerian Kesihatan M'sia teliti keputusan mansuhkan pemakaian pelitup

Keputusan berhubung pemansuhan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup akan diteliti dan diputuskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin.

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Keputusan berhubung pemansuhan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup akan diteliti dan diputuskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata MPN sudah bertanyakan kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, tentang keperluan pemakaian pelitup muka sekiranya situasi COVID-19 beransur pulih.

“Dia (Dr Noor Azmi) mengatakan pihaknya akan melihat perkara terbabit dengan lebih terperinci. Tindakan ini bukan kerana Singapura buat, maka Malaysia kena buat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya hari ini (29 Ogos.

Menurut laporan media, Singapura memansuhkan syarat pemakaian pelitup muka mulai hari ini kecuali dalam pengangkutan awam dan kemudahan jagaan kesihatan memandangkan situasi penularan pandemik COVID-19 di republik itu semakin stabil.

Encik Muhyiddin berkata beliau berpandangan bahawa pemakaian pelitup muka adalah langkah terbaik untuk memastikan diri seseorang itu tidak dijangkiti COVID-19, malah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia setelah dua tahun berhadapan dengan situasi pandemik.

“Saya fikir sekarang ini pemakaian pelitup muka sudah menjadi kebiasaan baru rakyat Malaysia, bukan paksaan. Kalau sudah sampai masanya tidak perlu pakai (pelitup muka), rakyat boleh pakai kalau mahu rasa lebih selamat,” katanya.

PELAKSANAAN PELAN PEMULIHAN PELANCONGAN

Mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022, yang dilancarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada Mei lalu, Encik Muhyiddin berpandangan tempoh pemulihan selama empat tahun yang dicadangkan MOTAC itu adalah terlalu panjang.

Bekas perdana menteri itu mengesyorkan MOTAC untuk mempertingkatkan tindakan yang agresif kerana kegagalan memulihkan industri pelancongan dengan agresif akan memberi kesan kepada pemulihan ekonomi negara.

“MOTAC kena lihat pada pendekatan agresif agar proses pemulihan dan kesannya dapat dirasakan dalam masa singkat dari empat tahun kepada tiga tahun,” katanya sambil menambah bahawa proses pemulihan yang terlalu lama akan menjejaskan lagi sektor kecil industri pelancongan yang terkesan ketika pandemik COVID-19.
 
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan