Skip to main content

Dunia

Kementerian Kesihatan M'sia sedia bentang rang undang-undang kawal produk merokok

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam berserta peruntukan berkaitan Generasi Penamat Rokok pada mesyuarat kedua penggal kedua Parlimen ke-15 yang bermula pada Isnin (22 Mei). 

Penasihat Khas Menteri Kesihatan Dr Helmy Haja Mydin berkata RUU itu sangat penting demi melindungi kesihatan generasi muda dan ia merangkumi dua perkara utama iaitu kawalan terhadap produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape, serta pelaksanaan peruntukan Generasi Penamat Rokok.

“Peruntukan larangan bagi Generasi Penamat Rokok hanya tertumpu kepada larangan membeli dan menggunakan, manakala larangan menyimpan atau memiliki rokok atau vape digugurkan berdasarkan saranan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Bagi peruntukan larangan ini, mereka (yang) bakal terkesan adalah termasuk mana-mana orang yang lahir pada 1 Jan 2007 iaitu pada ketika ini berumur 16 tahun,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Pada masa yang sama, beliau berkata RUU berkenaan adalah bagi mengawal produk merokok merangkumi kawalan terhadap pendaftaran, pengiklanan, promosi dan penajaan, pembungkusan dan penjualan.

“Sebarang pelanggaran termasuk penjualan rokok oleh peniaga atau penjual kepada kanak-kanak yang tergolong dalam kumpulan Generasi Penamat Rokok ini akan menjadi suatu kesalahan apabila RUU ini diluluskan kelak,” katanya. 

Sementara itu, Pakar Perunding Respiratori, Hospital Pantai Kuala Lumpur itu berkata hasil perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menimbangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 menetapkan beberapa pindaan berkaitan dengan larangan kepada mana-mana orang yang lahir pada 1 Jan 2007. 

“Berdasarkan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, denda yang dikenakan diturunkan daripada RM5,000 (S$1,487) turun kepada RM500 (S$149). Peruntukan ini dipertimbangkan agar ia tidak membebankan golongan generasi penamat sekiranya mereka melakukan kesalahan," kata Dr Helmy. 

Tambahnya, isu pemeriksaan badan oleh pegawai penguatkuasa KKM bagi golongan berkenaan diatasi dengan menggugurkan larangan pemilikan dan memantapkan penguatkuasaan secara pendidikan. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita