Skip to main content

Dunia

Kementerian Kesihatan M'sia perluas sistem janji temu di kemudahan kesihatan utama

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memperluaskan sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera di semua kemudahan kesihatan utama bermula Rabu (28 Dis), sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses pelanggan di kemudahan kesihatan itu.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zaliha Mustafa berkata sistem janji temu itu bertujuan membantu kemudahan kesihatan utama mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu berikutan masa menunggu yang lama.

Menurut beliau, lapan perkhidmatan dimasukkan ke dalam sistem janji temu iaitu rawatan pesakit luar; Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI); Saringan Kesihatan PeKa B40 dan pemeriksaan kesihatan prapekerjaan/prapengajian.

Turut dimasukkan ialah saringan praperkahwinan; Khidmat Berhenti Merokok (KBM); perkhidmatan perancang keluarga serta prosedur iaitu rawatan luka, penukaran tiub dan lain-lain.

“Perkhidmatan ini dimulakan di 673 Klinik Kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu (28 Dis).

Beliau berkata antara kelebihan sistem janji temu online itu termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke kemudahan kesihatan utama mengikut kesesuaian masa.

“Selain itu, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke kemudahan kesihatan,” katanya.

Dr Zaliha berkata sistem janji temu itu juga mempunyai fungsi Automated Reminder (peringatan automatik) supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang ditempah.

Bagi kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke kemudahan kesihatan utama tanpa perlu membuat janji temu, katanya.

“Dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan disediakan KKM ini, saya harap ia dapat mempromosi program kesihatan di bawah kemudahan kesihatan utama kepada masyarakat dengan lebih berkesan serta menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih cekap.

“KKM sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021-2025 KKM di bawah Teras Strategik 2 iaitu Pemantapan Teknologi Baru,” katanya.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita